Pace pacu kempen keselamatan dan kesihatan pekerja dalam pengangkutan awam

Pace pacu kempen keselamatan dan kesihatan pekerja dalam pengangkutan awam
(Dari kiri) Zaki Mohamad, Abdul Rahim Musa, Saupi Nazri Mamat dan Mohd Hussin Abd Salam selepas menandatangani memorandum bersama antara Pace, Prasarana dan Niosh

Pusat Kecemerlangan Prasarana (Pace) akan menjadi pemacu dalam memperkasakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam pengangkutan awam selepas menjalinkan kolaborasi strategik dengan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (Niosh).

Misi baru Pace,adalah dengan pemeteraian memorandum persefahaman antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan NIOSH pada awal bulan ini, yang mana kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama membudayakan elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pengangkutan awam.

“Melalui MoU ini, Prasarana dan Niosh akan memberi nafas baru dalam bidang ini dengan kami bersama-sama memperingkatkan aktiviti-aktiviti kesedaran tentang peri pentingnya elemen keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam pengangkutan awam,” kata Ketua Pace, Encik Abdul Rahim Musa dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, demi melaksanakan misi ini, Prasarana akan menyumbang kepakaran yang diperlukan melalui Pace bagi membangunkan program-program latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam industri pengangkutan awam.

“Bagi kami di Prasarana khususnya Pace, kami cukup berbangga untuk menjalinkan kolaborasi ini.

Niosh adalah badan yang berautoriti di dalam bidang latihan untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Namun, tumpuan KKP di industri pengangkutan awam masih amat rendah. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran mengenai KKP kepada orang ramai khususnya golongan pekerja. Oleh itu, Pace yakin MoU ini adalah satu langkah yang tepat; kerana ini akan memberi ruang dan peluang kepada Prasarana dan Pace memainkan peranan yang lebih signifikan di dalam membantu pihak berkuasa dan pembuat dasar,” ujarnya.

Tambah Abdul Rahim lagi, melalui MoU yang ditandatangani pada 7 Ogos lepas, Prasarana dan Niosh bersetuju untuk tempoh tiga tahun ini untuk bekerjasama dalam bidang latihan dan penyediaan perkhidmatan pakar runding dalam keselamatan dan kesihatan pekerjaan di samping berkolaborasi dalam penyelidikan dan pembangunan bidang ini.

Pace dan juga Niosh juga bersetuju untuk bekerjasama dalam penganjuran seminar, persidangan dan bengkel-bengkel yang sesuai kepada orang ramai dan juga untuk institusi-institusi serta organisasi yang berkaitan.

Serentak dengan pemeteraian memorandum berkenaan, Pace dan Niosh dengan jayanya menganjurkan Seminar Membudayakan Keselamatan dan Kesihatan Dalam Pengangkutan Awam dan Komersial (Jalan Raya) di Pusat Latihan Niosh di Bangi selama dua hari pada 7 dan 8 Ogos lepas.

Turut hadir

Ketua Jabatan Strategik & Pembinaan Keupayaan, Prasarana,Zaki Mohamad; Ketua Prasarana Center of Excellence Abdul Rahim Musa;Pengurus Kanan Jabatan Pendidikan & Latihan dan Pejabat Wilayah Niosh Saupi Nazri Mamat dan; Pengurus bahagian perniagaan dan pemasaran Mohd Hussin Abd Salam .