Malaysia Dateline

Padah pandang remeh risiko jangkitan, Presiden Brazil sah positif Covid-19

Presiden Brazil, Jair Bolsonaro hari ini mengumumkan beliau disahkan positif Covid-19 ketika negaranya kedua paling teruk dibadai pandemik tersebut.

Walau bagaimanapun, pemimpin sayap kanan itu memberitahu dirinya ‘dalam keadaan baik’ dan hanya memiliki gejala ringan.

“Saya seorang presiden. Saya suka berada dalam kalangan rakyat dan memberikan hubungan rapat. Saya berpendapat saya sudah mendapat Covid-19 pada awal tanpa mengetahuinya,” kata Bolsonaro dipetik AFP, yang tidak terkejut dengan ujian berkenaan.

Pada 5 Julai lalu, Bolsonaro, 65, mengakui berasa tidak sihat dan menjadi lebih teruk pada keesokan harinya apabila letih, sakit dan demam pada suhu 38 darjah Celsius.

Susulan itu, beliau menjalani ujian saringan termasuk pemeriksaan X-ray pada bahagian paru-paru selepas menunjukkan gejala, termasuk demam.

Bolsonaro, bekas seorang kapten tentera mengundang kontroversi di Brazil apabila berulang kali melanggar langkah pencegahan ketika berada di tempat awam.

Bahkan, beliau tidak memakai pelitup muka pada jamuan tengah hari bersama duta Amerika Syarikat (AS) dan beberapa menteri lain bagi meraikan 4 Julai iaitu hari kemerdekaan AS.

Sejak wabak Covid-19 tercetus, Bolsonaro sering memandang ringan risikonya yang beliau pernah anggap sebagai ‘selesema kecil’.

Pada Mac lalu, beliau mendakwa virus coronavirus itu tidak akan menjangkitinya kerana sejarah lampaunya yang pernah menjadi atlet dan pernah ditikam pada bahagian abdomen pada kempen 2018.

Bolsonaro turut memisahkan dirinya dengan dua menteri kesihatan ketika krisis Covid-19 kerana tidak bersetuju dengan strategi yang digunakan bagi menangani pandemik yang telah membunuh lebih setengah juta penduduk dunia itu.

Brazil mencatatkan hampir 1.7 juta kes jangkitan dan 66,868 kematian setakat jam 10 pagi ini.