Padam dulu bara perkauman hingga hilang asapnya

Padam dulu bara perkauman hingga hilang asapnya

Jangan bosan untuk bincang masalah kaum di Malaysia Baharu ini. Walaupun kalau ada yang menganggap ia isu ciptaan, sengaja diadakan untuk mengalih perhatian masyarakat dari isu-isu lain yang lebih kritikal, tetap juga perlu dijernihkan.

Implementasi mana-mana polisi dan dasar ekonomi untuk memulihkan negara tidak mampu berhasil selagi kita diganggu dengan isu sebegini.

Ketegangan antara kaum yang wujud di Malaysia ini persis asap. Pedih, sesak, kabur, dan mengganggu. Terlalu tebal, boleh membutakan pandangan. Jika disulami racun, boleh membunuh. Lebih dekat kita dengan asap itu, lebih seksa untuk bernafas.

Resminya, jika ada asap, pasti ada apinya. Mahu dihilangkan asap, perlulah dipadam apinya. Asap tak hilang hanya dengan begitu sahaja. Menjernihkan udara dari asap perkauman harus dilakukan sampai hilang baranya. Selepas habis bara, abunya pun perlu ditanam agar tak lagi mengotorkan.

Seperti memadamkan kebakaran, perlu ada yang sanggup berkorban mendekati panas dan bahayanya api punca asap tersebut. Bukanlah kerja yang mudah, jauh sekali selesa.

Cuba tanya kepada mana-mana orang yang hidupnya diabadikan untuk kerja-kerja penyatuan kaum dan agama – hidup mereka jauh terseksa berbanding mereka yang mengipas api perkauman sehingga berkepul asapnya.

Belum tentu kaum lain mahu mendengar, belum tentu kaum sendiri mahu menerima. Hidup dan mati akhirnya tersisih andai tidak berjaya.

Nak memadam asap, harus pula faham apinya. Lain api, lain cara memadamnya. Bukan semua lawannya air, bukan semua lawannya pasir.

Dalam memahami permasalahan ini, harus diselak lembaran sejarah. Ambil contoh bagaimana asap dan api yang sama melanda Eropah sebelum Perang Dunia Kedua. Ketegangan dan prejudis kaum – terutama ke atas minoriti Yahudi muncul disebabkan tekanan ekonomi, bukan agama, warna kulit atau bentuk hidung.

Ini sama seperti di Malaysia. Prejudis kita ke atas kaum lain – terutama Melayu ke atas Cina (yang jujurnya terlalu ketara hari ini) bukanlah kerana agama, warna kulit mahupun bentuk mata. Ia soal ekonomi.

Ironinya, di Eropah, persepsi penguasaan ekonomi minoriti Yahudi sehingga membawa kepada kancah perang adalah terhasil dari undang-undang lama anti-riba majoriti Kristian sendiri. Memberi pinjam wang dengan faedah atau riba adalah dosa besar bagi masyarakat Kristian.

Kebuntuan untuk mengembangkan ekonomi modal ini dipecahkan dengan peminjaman wang diuruskan oleh minoriti Yahudi yang tidak mempunyai sekatan yang serupa menurut agama mereka.

Perbankan Islam belum sampai ke Eropah ketika itu. Dengan keterlibatan aktif kaum pemodal Yahudi dalam perbankan dan pendanaan di Eropah, ia akhirnya menimbulkan persepsi songsang yang menyaksikan terkorbannya jutaan nyawa selama bertahun-tahun perang antara manusia.

Sebab itu sering ditekankan, kalau di negara kita juga — masalah perkauman ini adalah masalah moden yang muncul dari ketegangan dan perebutan kuasa ekonomi, bukan kerana perbezaan agama atau budaya kaum masing-masing.

Beratus tahun alam Melayu ini sudah terbiasa dengan budaya luar yang datang ke sini. Agama yang dianuti dan diwarisi majoriti rakyat hari ini juga tidak lahir di tanah ini – ia dibawa oleh padagang dari Timur Tengah dan Asia Selatan. Jika keterbukaan dan kepelbagaian bukan pegangan alam ini, masyarakat Melayu dahulu pasti tidak menerima dakwah dari Timur Tengah tersebut.

Dalam masa yang sama pedagang Islam tiba, pedagang dan wakil dari Tanah Besar China juga turut ada di sini membawa pengaruh ekonomi dan politik mereka. Kedua-dua budaya yang bercanggah ini dirai pemimpin dengan bijaksana dan hasilnya alam Melayu makmur sehingga ketibaan besar-besaran dunia Barat.

Secara ringkasnya kemakmuran yang dinikmati tanah ini adalah hasil keterbukaan dan kepelbagaian, bukan hasil dari sikap tertutup dan pandangan yang sempit.

Sebab itu, dalam kita menilai duduk letak perkara hari ini, biar kita fahami dengan tuntas hujung pangkal perkara. Dalam kita membawa penyelesaian juga, biarlah dengan memahami juga hujung pangkal perkara.

Risau-risau kalau salah cara memadamnya, makin marak dan makin tebal asap yang melanda kita hari ini. Kata kunci hari ini, ekonomi.