Paderi di Kuching korban pertama Covid-19 di Malaysia

Paderi di Kuching korban pertama Covid-19 di Malaysia

Desas-desus kematian seorang paderi sebelum ini akibat wabak Covid-19 akhirnya terbukti benar seperti disahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Dalam kenyataan JPBN hari ini, mangsa merupakan seorang lelaki berusia 60 tahun dari Gereja Emmanuel Baptist Kuching meninggal dunia di Hospital Umum Sarawak pada pukul 11 pagi tadi.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak masih dalam proses mengenal pasti sumber jangkitan terhadapnya.

“Sementara itu, 193 kontak rapat mendiang telah dikenal pasti dan sedang menjalani kuarantin di rumah,” kata JPBN Sarawak.

Dalam masa sama, pengguna Facebook dan penganut Kristian berkongsikan ucapan takziah dan gambar mendiang David Cheng bersama isteri.

Perkembangan tersebut sekali gus menyaksikan Malaysia mencatatkan kematian pertama akibat Covid-19.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak Jabatan Kesihatan Negeri masih dalam proses untuk mengenal pasti sumber jangkitan mendiang.

Sementara itu, 193 kenalan rapat paderi tersebut telah dikesan dan sedang menjalani kuarantin di rumah.

Sarawak hari ini mencatatkan 11 kes positif baru dengan enam kes dari Kuching, Limbang (3) manakala Betong dan Lawas masing-masing satu kes.

Mereka terbabit pada masa ini sedang dirawat di Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu dan
Hospital Miri.

Sebanyak 35 Pengesanan Kes Yang Disyaki (PUI) dicatatkan di Sarawak manakala 204 pesakit
masih menunggu keputusan.

Pada masa ini, 45 kes Covid-19 di Sarawak telah dikesan kepada empat kelompok iaitu Kluster Sri Petaling, Kuching (Gereja), Sarikei dan satu lagi kluster di Kuching dengan sumber yang masih belum dikenalpasti.