Malaysia Dateline

Paderi, peserta perhimpunan tabligh dua korban Covid-19 hari ini

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam sidang media hari ini memaklumkan dua kematian akibat wabak Covid-19, iaitu pesakit dari kes ke-178 dan ke-358.

Menurutnya, kes ke-178 ialah seorang lelaki yang menghadiri satu perhimpunan tabligh di Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Jelasnya, mangsa adalah lelaki warga Malaysia berusia 34 tahun mengalami demam pada 5 Mac lalu.

“Pesakit mendapatkan rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru dan disahkan positif Covid-19.

“Lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan dan kesihatan mangsa mula merosot sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru dan disahkan meninggal dunia hari ini,” jelasnya.

Dr Adham berkata, pesakit kedua meninggal dunia adalah kes ke-138 iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 60 tahun.

“Pesakit mempunyai sejarah penyakit kronik termasuk kencing manis dan dikesan mempunyai gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas.

“Mangsa dirawat di Hospital Umum Sarawak sebelum disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke ICU (Unit Rawatan Insentif).

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pagi tadi di hospital berkenaan,” katanya.

Hari ini, sebanyak 120 kes baharu dicatatkan menjadikan keseluruhan kes di Malaysia berjumlah 673 kes.

Tambahnya lagi, daripada jumlah itu 95 kes positif berkaitan kluster tabligh di Masjid Sri Petaling.