Malaysia Dateline

PADU kecewa pemimpin kerajaan langgar PKP, wajar tunjuk contoh terbaik

Persatuan Umat Islam Damansara Utama (Padu) hari ini menzahirkan kekecewaan terhadap segelintir pemimpin kerajaan yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Presidennya, Dr Kamarudin Yusof berkata, sebagai pemimpin yang diamanahkan jawatan tinggi, mereka sewajarnya mempamerkan teladan terbaik untuk dicontohi oleh rakyat umum.

Katanya, apa yang menyedihkan adalah ribuan rakyat biasa yang ingkar telah ditangkap dan dikenakan saman berjumlah RM1,000.

“Difahamkan, ramai lagi sedang menunggu untuk didakwa di mahkamah. Justeru, kami berpandangan kesalahan yang dilakukan oleh para pemimpin ini, tidaklah wajar dimaafkan dan dilepaskan begitu sahaja.

“Tindakan seperti ini akan menjadikan rakyat keliru dengan kedaulatan undang-undang yang dijunjung bersama.

“Malah, lebih buruk, ianya akan menimbulkan fitnah yang akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin itu sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Dr Kamarudin berkata, negara amat mendambakan pemimpin yang sanggup bekerja secara berpasukan, berintegriti, berhemah tinggi dan bersama-sama menegakkan kedaulatan undang-undang.

Katanya, itulah ciri-ciri utama yang diperlukan ke arah mencapai sebuah negara maju, sejahtera dan dihormati dunia.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam menghadapi cabaran ini.

“Sukacita kami menegaskan kesediaan untuk terus bersabar dan berkorban dengan mengenepikan keselesaan hidup seperti aktiviti sosial dan ekonomi yang dinikmati selama ini.

“Kami juga turut melibatkan diri dalam memberi sumbangan dan bantuan untuk mereka yang dhaif dan terkesan. Semoga Allah merahmati dan memberkati usaha kita semua untuk mengatasi wabak Covid-19 ini,” ujarnya.