Malaysia Dateline

PAFA pamer Piala Malaysia di Pasar Raya Mydin,Meru Raya

Peminat bola sepak pasukan Perak berpeluang melihat trofi Piala Malaysia secara dekat apabila ia dipamerkan di ruang legar Pasar Raya Besar Mydin, di Meru Raya, di sini, pada Sabtu dan Ahad ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Abd Aziz Yeop Jamaluddin berkata, trofi yang menjadi simbolik ikonik bola sepak negara itu akan dipamerkan mulai jam 11 pagi hingga 6 petang.

“Ia juga memberi peluang kepada peminat menatap dan bergambar di sisi trofi keagungan bola sepak negara yang berusia 95 tahun dan menjadi rebutan pasukan bola sepak tanah air itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pameran itu juga bakal dihadiri pemain pasukan The Boss Gaurus yang akan menemui peminat pasukan Seladang.

“Kita harap pameran ini juga akan beri suntikan kepada peminat untuk terus memberikan sokongan penuh kepada pasukan negeri pada musim baharu akan datang,” katanya.

Perak menamatkan penantian 18 tahun untuk merangkul Piala Malaysia selepas menumpaskan pasukan Terengganu FC pada final di Stadium Shah Alam, 27 Okt lalu.

Perak mengatasi Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas terikat 3-3 selepas masa tambahan.

— BERNAMA