PAFA setuju lantik Menteri Besar Perak sebagai presiden baru

PAFA setuju lantik Menteri Besar Perak sebagai presiden baru

Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sebulat suara mencadangkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai presiden baharu badan induk itu.

Naib Presiden 1 PAFA, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata satu kongres luar biasa akan diadakan oleh jawatankuasa berkenaan pada 6 Disember ini bagi membolehkan pelantikan Ahmad Faizal dibuat.

Katanya kongres itu juga dijangka akan melantik timbalan presiden baharu untuk melengkapkan jawatankuasa tersebut.

“Kami akur dengan keputusan ahli gabungan yang mahukan menteri besar menerajui PAFA dan ia adalah adalah prosedur biasa untuk lantik bos yang baharu.

“Ahli gabungan juga mahukan Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman dilantik sebagai Timbalan Presiden PAFA dan EGM dijangka berlangsung di Casuarina Meru pada sebelah malam,” katanya dalam satu sidang media di sini.

Kongres luar biasa itu terpaksa dibuat memandangkan bekas presiden PAFA, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim telah meletak jawatan pada 8 Nov lalu bagi memberi tumpuan terhadap kerjaya selaku ahli politik dan exco kerajaan negeri.

Manakala Datuk Adly Shah Ahmad Tah yang dilantik selaku Timbalan Presiden PAFA pula telah meletakkan jawatan pada 13 Nov lalu sepertimana diumumkan jawatankuasa badan induk itu.

Mohammad Yadzan yang merupakan pemangku presiden PAFA berharap kongres luar biasa yang diadakan itu nanti mampu memberikan sinar baharu sekaligus membawa kecemerlangan dalam arena bola sepak negeri.

“Kita harapkan isu ini akan selesai dalam masa terdekat bagi memastikan hala tuju dan perjalanan persatuan untuk mengharungi musim akan datang.

“Kita yakin dengan sokongan beliau (Ahmad Faizal) kepada pasukan negeri sebelum ini yang tidak berbelah bahagi, jadi beliau mampu menjadikan Perak sebuah pasukan yang lebih baik jika menerajui PAFA kelak,” katanya.