Malaysia Dateline

Pahang: Kawasan terjejas meningkat, mangsa terlibat berkurangan

Kawasan terjejas banjir di Pahang kini meningkat kepada lapan daerah, namun mangsa yang dipindahkan berkurangan kepada 7,560 orang setakat 10 malam tadi berbanding 7,988 petang semalam.

Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kesemua mangsa ditempatkan di 50 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Temerloh menjadi daerah terbaharu dilanda bencana itu.

“Kuantan terus merekodkan jumlah mangsa paling ramai dengan 6009 orang ditempatkan di 32 PPS.

“Di Pekan pula mencatatkan 1,278 mangsa di tujuh PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya seramai 548 orang, Sekolah Sinar Mutiara Sungai Miang (414).

“Di SK Permatang Keledang pula seramai 224 orang, Balai Raya Kampung Menchupu (65), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (13), SK Temai (12) dan dua di Balai Raya Kampung Tebat,” menurut portal itu.

Selain itu, di Bera empat PPS menempatkan 126 mangsa iaitu SK Kuala Triang (71), SK Charuk Puting (24), Masjid Kampung Mengakarak (18) dan Masjid Kuala Bera (13).

Seramai 40 mangsa di Maran pula ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian (31) dan SK Pesagi (sembilan).

Di Temerloh, 17 mangsa dipindahkan ke dua PPS iaitu Surau Kampung Lompat (11) dan SK Telok Ira (enam).

Tiga lagi daerah, masing-masing masih mempunyai satu PPS yang dibuka iaitu Dewan Serbaguna Jerantut Feri, Jerantut yang menempatkan 26 mangsa, Dewan Bukit Kota, Lipis pula menempatkan 10 mangsa dan Balai Raya Rekoh (60).