Malaysia Dateline

Pahang kenal pasti 661 pusat pemindahan banjir

Sebanyak 661 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kapasiti yang boleh menampung 155,900 orang telah dikenal pasti di Pahang sebagai persediaan menghadapi banjir, kata Ketua Polis negeri Datuk Abd Jalil Hassan.

Beliau berkata 334 daripada jumlah PPS itu adalah dewan atau balai raya, 279 sekolah dan selebihnya adalah masjid atau surau.

“PPS ini melibatkan semua 11 daerah di Pahang, turut dikenal pasti adalah 118 pangkalan hadapan dan 12 depot atau stor unit untuk menyimpan keperluan barangan asas bagi mangsa banjir.

“Bagi kekuatan sumber manusia untuk operasi pemindahan dan menyelamat mangsa banjir, seramai 6,342 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi sudah bersiap sedia dan jumlah ini sedia ditambah mengikut keperluan serta lokasi banjir,” katanya.

Abd Jalil berkata demikian ketika mempersembahkan taklimat persediaan menghadapi bencana banjir Pahang kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor dan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Abd Jalil berkata selain polis, kekuatan sumber manusia pada operasi banjir juga melibatkan antara lain pasukan tentera, bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulans.

“Bagi aset kenderaan, sebanyak 395 buah kenderaan darat diletakkan dalam keadaan bersiap siaga termasuk pacuan empat roda dan lori milik pelbagai agensi serta 189 kenderaan air termasuk bot aluminium, bot fiber dan jet ski,” katanya.

Abd Jalil berkata persiapan menghadapi banjir sudah dibincangkan secara terperinci oleh Jawatankuasa Bencana Negeri yang dianggotai semua agensi penyelamat dan jabatan kerajaan berkaitan dengan dipengerusikan oleh Sallehuddin.

Latihan simulasi menghadapi banjir juga, menurut Abd Jalil, sudah dilakukan secara serentak di Kuantan, Jerantut dan Pekan pada 17 Okt lepas untuk menguji kemahiran mereka yang terlibat sebelum menghadapi situasi sebenar.

— BERNAMA