Malaysia Dateline

Pahang, Negeri Sembilan paling ramai mangsa banjir dipindahkan

Sabah, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan dinaiki air banjir hari ini, lapor Bernama.

Pahang dan Negeri Sembilan mencatatkan paling ramai mangsa yang dipindahkan ke Pusat Perpindahan Sementara (PPS).

Di Pahang, 1,804 orang mangsa berada di 39 PPS yang di buka di lapan daerah.

Di Negeri Sembilan terdapat 1,767 orang daripada 460 keluarga berada di 16 PPS manakala di Kelantan 308 orang dari 109 keluarga berada di lima PPS yang telah dibuka.

Di Melaka, jumlah mangsa sudah meningkat kepada 1,122 dari 279 keluarga berbanding 677 orang dari 173 keluarga semalam.

Di Johor, daerah Segamat dan Tangkak paling ramai mangsa banjir iaitu 1,646 orang dari 425 keluarga.

Di Sabah, Telupid dan Sandakan menjadi dua daerah terbaru selain Kota Marudu, Paitan dan Beluran yang dinaiki sebelum ini.

Kini 717 orang dari 212 keluarga berada di PPS di negeri itu.

Di Terengganu jumlah mangsa hanya 147 orang daripada 44 keluarga di tiga PPS yang dibuka.