Pahang raih kemenangan kedua berturut-turut kempen Piala Malaysia

Pahang raih kemenangan kedua berturut-turut kempen Piala Malaysia

Juara empat kali, Pahang merekodkan kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia, selepas mengatasi Perak 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Tok Gajah meraih enam mata, selepas dua perlawanan.

Pada aksi di Kuantan, Herold Goulon membuka tirai jaringan untuk Pahang pada minit ke-40, setelah menanduk masuk sepakan percuma Nor Azam Abdul Azih, sebelum Saddil Ramdani menggandakan kedudukan pasukan tuan rumah pada minit ke-67, setelah dengan mudah menolak masuk hantaran silang Mohamadou Sumareh.

Lazarus Kaimbi mengesahkan tiga mata untuk skuad Tok Gajah menerusi percubaan solo pada minit ke-81.

Dalam pada itu, juara 2001, Terengganu FC (TFC) melakar kejutan, selepas menundukkan juara lima kali, Kedah 2-0 pada aksi kumpulan A di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Gol pertama TFC hadir pada minit ke-65, menerusi Tchetche Kipre yang menanduk masuk sepakan percuma kapten pasukan, Lee Andrew Tuck pada minit ke-65, sebelum Kipre meledak gol peribadi kedua pada minit ke-86, dengan satu ‘lob’ menarik.

Terdahulu, TFC terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah penjaga gol, Muhamad Ilham Amirullah Razali dilayangkan kad merah pada minit ke-45, apabila mengasari Muhammad Farhan Roslan, di luar kotak penalti.

Juara 33 kali, Selangor turut meraih kemenangan sulung, selepas dua perlawanan apabila menang tipis 1-0 ke atas Melaka pada aksi kumpulan D, di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Gol tunggal perlawanan terhasil menerusi gol sendiri pemain Melaka, Jang Suk-won pada minit ke-61.

PKNP FC pula meraih kemenangan sulung selepas dua perlawanan apabila menewaskan UiTM FC 2-0 pada aksi kumpulan B di Stadium UiTM, Shah Alam.

Gol pertama PKNP FC disumbangkan Amani Aguinaldo, yang memanfaatkan sepakan penjuru rakan sepasukan pada minit ke-45, sebelum Pedro Victor meledak gol kedua menerusi tolakan mudah pada minit ke-85.– BERNAMA