Pahang saksi pemasyhuran bersejarah hari ini

Pahang saksi pemasyhuran bersejarah hari ini

Hari ini mencatat sejarah bagi negeri Pahang, yang akan menyaksikan istiadat pemasyhuran dua jawatan penting dalam institusi diraja negeri itu.

Pemasyhuran Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang kelima dan pemasyhuran Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sebagai Tengku Mahkota Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, di sini mencatat sejarah tersendiri kerana buat julung kali istiadat itu diadakan serentak dalam sejarah diraja di negeri ini.

Tengku Hassanal

Istiadat kali ini juga istimewa apabila Tengku Hassanal akan turut dimasyhurkan Pemangku Raja Pahang berikutan ayahanda baginda, Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari.

Kali terakhir Istiadat pemasyhuran Tengku Mahkota Pahang diadakan pada 23 Okt 1977 setelah Sultan Abdullah dilantik memegang jawatan itu pada 1 Julai 1975. Baginda kemudian dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang dalam satu istiadat berasingan pada 28 April 1979.

Sultan Abdullah yang ketika itu baru berusia 20 tahun dilantik menjadi Pemangku Raja Pahang bagi tempoh lima tahun apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Tinjauan Bernama di Istana Abu Bakar semalam mendapati persiapan giat dilakukan petugas dan pegawai istana serta jabatan yang berkenaan bagi memastikan istiadat bersejarah itu berjalan lancar walaupun diadakan dalam tempoh yang singkat.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut berkenan mencemar duli berangkat ke Balairung Seri, Istana Abu Bakar hari ini bagi meninjau sesi raptai yang diadakan untuk istiadat pemasyhuran itu.

Turut berangkat Tengku Hassanal, Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman, Tengku Ariff Temenggong Pahang Tengku Abd Fahd Muadzam Shah, serta anakanda putera dan puteri baginda yang lain.

Laluan utama ke Istana Abu Bakar di bandar diraja ini turut dihiasi kibaran bendera negeri sempena istiadat itu.

Tunku Azizah yang dilahirkan di Istana Bukit Stulang, Johor Bahru pada 5 Ogos 1960, merupakan anakanda keempat kepada Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Perempuan Rendah Sultan Ibrahim, Johor Bahru sebelum meneruskan pendidikan di Sekolah Tun Fatimah dan Universiti Nasional Singapura (dalam bidang Sains Politik dan Sosiologi) pada 1982 hingga 1983.

Tunku Azizah mendirikan rumahtangga dengan Sultan Abdullah yang ketika itu menjadi Tengku Mahkota Pahang pada 6 Mac 1986.

Baginda berdua mempunyai empat putera dan lima puteri.

Tengku Hassanal diputerakan pada 17 September 1995 di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan merupakan putera sulung kepada Sultan Abdullah dan Tunku Azizah.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah St Thomas, Kuantan, baginda melanjutkan pengajian tinggi di The Geneva School of Diplomacy and International Relations (GSD), Switzerland dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Hubungan Antarabangsa (BA- IR).

Tengku Hassanal ketika ini sedang mengikuti latihan ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom, iaitu akademi sama yang pernah dihadiri Sultan Abdullah pada 1978 sebelum baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda oleh Ratu Elizabeth pada 1980.- BERNAMA