Malaysia Dateline

Pahang, Terengganu, Kedah catat kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi

Pahang mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 tertinggi iaitu 1.27 mengatasi Rt kebangsaan, 1.08.

Ini diikuti lapan negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya yang mencatatkan purata kadar lebih tinggi berbanding purata nasional.

Terengganu mencatatkan Rt 1.25 diikuti Kedah (1.20), Perak (1.18) serta Melaka dan Selangor (1.16).

Sementara itu, Negeri Sembilan 1.13, Johor (1.11), Labuan dan Putrajaya masing-masing (1.10) dan Pulau Pinang (1.09).

Data tersebut dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook malam tadi.

Kuala Lumpur pula mencatatkan Rt pada kadar 1.07, sementara tiga negeri merekodkan kadar di bawah 1.00 iaitu Sarawak, Kelantan dan Sabah masing-masing 0.98, 0.97 dan 0.96 selain Perlis pula merekodkan pertambahan dua kes.

Nilai Rt merujuk kepada berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Semalam, Selangor kekal mencatatkan pertambahan kes harian tertinggi dengan 1,743 daripada 4,865 keseluruhan kes baharu disusuli Sarawak (512), Kuala Lumpur (477), Johor (407) dan Kelantan (406).

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini mencecah 479,421 kes semalam dengan dua hari berturut-turut merekodkan kes kematian tertinggi iaitu sebanyak 47 kes, berbanding 45 kes kelmarin.