Malaysia Dateline

Pak Haji, mengaku lebih baik, kata Hanipa kepada Presiden Pas

Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin mempertikaikan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pas turut menegur perdana menteri berhubung skandal 1MDB tetapi dilakukan secara tertutup.

Merujuk laporan media mengenai sesi dialog presiden parti berkenaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) India di Kepala Batas, baru-baru ini ahli jawatankuasa AMANAH Nasional itu menyifatkan pengakuan Abdul Hadi jauh daripada realiti kerana setakat ini Pas berpuas hati dengan penjelasan kerajaan berhubung 1MDB.

“Dia juga kata partinya juga menasihati MO1 secara tertutup. Dia kata parti suci bukan sahaja tegur MO1 di Parlimen tapi juga tegurnya secara bersemuka.

“Beliau juga kata PKR adalah opportunist dan tidak konsisten dan DAP pula chauvinist. Saya dok cari ada tak satu ayat daripada beliau berbentuk pengakuan salah, tak jumpa satu pun, semua orang lain yang salah,” ujar Hanipa (foto) di laman facebook.

Menurut Hanipa, sepanjang pengetahuan beliau, Abdul Hadi tidak pernah menegur perdana menteri di Dewan Rakyat khususnya dalam isu membabitkan 1MDB.

“Maaflah, dengan orang yang tak tahu bolehlah, dengan kami yang selalu ada kat Parlimen kadangkala sampai lewat malam dan lewat pagi, jangan nak temberanglah,” katanya sinis.

Menurut beliau, adalah sesuatu yang ganjil bagi presiden Pas untuk menegur Najib secara tertutup sedangkan isu 1MDB sudah dibincangkan secara terbuka di  dalam dan di luar negara.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Abdul Hadi membuat teguran secara terbuka berhubung skandal 1MDB kerana sehingga kini ahli parlimen Marang itu telah membuat kenyataan secara terbuka membela perdana menteri dalam isu 1MDB.

Beliau juga menegur Abdul Hadi yang digelarnya ‘pak haji’ dalam tulisannya itu supaya memperbaiki rekod kehadiran di Dewan Rakyat.

“Jika tidak selalu ada dalam Parlimen, lebih mulia kata begini dalam dialog tu, ‘maaflah saya selalu tak hadir Parlimen, maka saya akui saya amat kurang tegur dalam Parlimen’. Tak mulia ke jika jujur?” katanya.

Hanipa turut mengulas kenyataan presiden Pas yang menyifatkan parti sekutu Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR sebagai oportunis dan ‘tidak konsisten’.

Beliau sebaliknya menempelak Pas kerana masih kekal dalam kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR walaupun muktamar parti bersetuju memutuskan hubungan dengan parti tersebut.