Malaysia Dateline

Pak Maid: Perginya ‘legenda’ Bandar Tasik Puteri

Setiap komuniti ada legenda masing-masing. Begitu juga Bandar Tasik Puteri, sebuah bandar baru di Rawang, Selangor. Legendnya adalah Pak Maid atau nama sebenarnya Che Maid bin Salleh, 72 tahun.

Pak Maid adalah lagenda dalam komuniti itu. Apabila bandar baharu ini dibuka pada tahun 2000, kira-kira 20 tahun yang lalu, Pak Maid antara yang terawal menetap di sini.

Bekas tentera ini menjadi pemandu bas sekolah untuk anak-anak penduduk komuniti apabila sekolah mula dibuka di kawasan ini. Kanak-kanak ini tentu ingat Pak Maid.

Suaranya yang kuat, kadang-kadang suka menyakat anak-anak ini ketika beliau membawa mereka ke sekolah dan mengambilnya semula untuk dibawa ke rumah masing-masing, tentu masih diingati mereka.

Kemudian Pak Maid menjadi tukang masak dan siak di Surau As Siddiqin, antara surau yang awal di Bandar Tasik Puteri. Selepas menjadi siak, Pak Maid tidak lagi menjadi pemandu bas sekolah itu.

Beliau menjual bas mininya kepada orang lain untuk meneruskan khidmat mengambil dan menghantar kanak-kanak sekolah itu.

Surau As Siddiqin bukan surau biasa. Surau ini juga dibenarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor  (Jais) untuk menunaikan Solat Jumaat di dalamnya.

Ia menjadi antara surau yang paling aktif di Selangor dengan saban waktu akan dipenuhi dengan kuliah dari Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, sehinggalah Kuliah Dhuha yang diadakan pada setiap pagi Ahad.

Semasa menjadi siak dan tukang masak inilah, Pak Maid dianggap legend di surau ini. Disiplin yang diterapkan ketika beliau menjadi askar diamalkannya di surau ini.

Ada dua perkara yang akan diingati oleh anak kariah ini tentang Pak Maid: kebersihan surau dan suaranya yang lantang.

Pagi-pagi lagi, Pak Maid dengan dibantu isterinya Mak Piah akan datang ke surau bagi membersihkan sampah dan longkang di sekeliling surau.

Di dalam surau pula, beliau akan membersihkan karpetnya dengan penyedut hampagas.

Bukan kedua-dua kawasan itu sahaja, tandas juga akan dibersihkan. Ketika orang ramai kecoh membincangkan soal tandas surau dan masjid yang kotor di negara ini dan dunia Islam, Surau As Siddiqin berbangga dengan kebersihannya.

Pak Maid juga pasti diingat oleh tetamu khasnya para asatizah atau ustaz yang datang untuk memberikan ilmu di surau ini.

Ia dicatatkan dengan baik oleh bekas Imam 1 surau ini, Ustaz Muhamad Zuhdi Mat Piah dalam catatannya tentang Pak Maid.

“Ustaz-ustaz yang datang berkuliah di sini pasti mengenali susuk tubuh ini, selalu khidmat kepada para asatizah.

“Jika ustaz datang kuliah dan umumkan kutipan derma untuk sekolah dan sebagainya, semua jemaah akan dengar suara “SODAQAH SODAQAH SODAQAH…HAA PINTU SYURGA DAH BUKA”.

“Tentu ustaz-ustaz rindu suara tu kan. Walaupun suaranya agak kuat kekadang kasar namun hatinya baik melayan tetamu,” tulis Zuhdi dalam Facebook beliau.

Kira-kira jam 3 petang semalam, Pak Maid menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau meninggal dunia di pangkuan Imam Surau As Siddiqin yang juga merupakan anak angkatnya, Imam Azman.

Pak Maid meninggal selepas hampir setahun terlantar akibat terkena angin ahmar.

Selepas Pak Maid sakit setahun lalu, sudah pasti komuniti Surau As Siddiqin terasa kehilangan. Tiada lagi suara Pak Maid yang mengingatkan tentang sedekah dan suara beliau menyakat kanak-kanak yang membuat bising dalam surau.

Jenazah Pak Maid disolatkan di tempat beliau berkhidmat selama ini malam tadi.

Malam tadi, jamaah surau As Siddiqin menunaikan solat terakhir untuk Pak Maid dengan diimami oleh Zuhdi. Jenazah Pak Maid disolatkan buat kali terakhir sejurus Solat Isyak, sebelum jamaah surau menunaikan Solat Terawih.

Semoga roh Pak Maid diterima Allah dan ditempatkan bersama-sama dengan mereka yang beriman dan mendapat ampun perkenan daripadaNya.

Al-Fatihah…