Malaysia Dateline

Pak Nil gembira Zamani kembali boleh menyanyi kurang sebulan selepas pembedahan

Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi atau mesra disapa Pak Nil gembira dengan perkembangan kesihatan penyanyi Zamani yang semakin pulih daripada pembedahan.

Pak Nil sebelum ini bertanggungjawab mengumpul dana bagi membiayai pembedahan tulang belakang Zamani akibat penyakit skoliosis.

Beliau berkongsikan perkembangan itu dengan memuat naik video Zamani membuat persembahan sulung di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, pada 3 Disember lalu.

Penampilan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Gerimis Mengundang’ dan ‘Syair Si Pari-Pari’ itu adalah kurang sebulan selepas menjalani pembedahan tersebut.

“Terima kasih Allah kembalikan kesihatan dan keadaan fizikalnya seperti dahulu. Menitis air mata gembira menonton persembahan pertama Zamani selepas pembedahan.

“Kurang dari sebulan selepas pembedahan dilakukan,” luah Pak Nil.

Zamani, 51, yang mendirikan rumah tangga pada 2019 itu menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang di sebuah pusat perubatan di Cheras pada 7 November lalu.

Beliau kemudiannya dibenarkan keluar selepas tiga hari pembedahan dan menjalani rawatan pemulihan di rumah.

Baca juga Selepas 24 tahun, Anwar kembali bertugas di Kementerian Kewangan

Baca juga Sanggup jadi ‘jenazah’ demi anak-anak, Fazley dipuji ramai