Benar ajal itu tidak mengenal usia maka orang ramai seharusnya sentiasa mendekatkan diri dengan Tuhan.
Buat pelawak kumpulan Senario, Ilya atau nama lebih dikenali sebagai Pak Ya, dia memilih untuk berundur dari dunia hiburan.
Ini adalah disebabkan kerjaya baharu sebagai seorang mutawif dan dia kini sedang menjalani kursus selama tiga bulan sebagai persediaan lapor Kosmo! Online.
“Pada usia begini saya fikir ingin bekerja yang lebih dekat dengan agama dan Tuhan.
“Saya pun ada terfikir sampai bila hendak naik pentas buat lawak. Mungkin saya masih lagi akan berlawak, tetapi kali ini dengan kumpulan yang berbeza.
“Insya-Allah saya akan bergelar mutawif dan bakal membawa jemaah pertama pada 4 Disember depan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Pada masa sama Pak Ya mengakui sudah lama dia memikirkan untuk meninggalkan dunia seni dan keinginan untuk menunaikan ibadah haji mendorong dirinya memilih tawaran menjadi mutawif.
“Saya sebelum ini ingin membuat ibadah haji, tetapi tidak berkesampaian kerana masih belum giliran. Walaupun sudah membuat rayuan, tetapi masih gagal.
“Kalau boleh saya ingin menjejaskkan kaki ke Tanah Suci sebelum menutup mata. Jadi apabila dapat tawaran ini, saya fikir ini satu peluang besar untuk saya lebih banyak beribadah.
“Mungkin dalam rombongan pertama nanti saya lebih kepada menghiburkan mereka kerana belum jadi menjadi mutawif sepenuhnya sebab masih pelajar praktikal,” katanya.
Baca juga: Hampir 15 tahun di luar negara, mahu zuriat sendiri antara punca Yuna mahu pulang ke Malaysia