Pakai jingga setiap Isnin, henti keganasan terhadap wanita – Awan Nasional

Pakai jingga setiap Isnin, henti keganasan terhadap wanita – Awan Nasional

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) akan memberi fokus kepada Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita (Stop Violence Against Women @ VAW) sepanjang tahun ini.

Ketua Wanitanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kempen itu akan diturunkan ke peringkat negeri dan kawasan di seluruh negara bagi memberi kesedaran kepada seluruh masyarakat khususnya wanita mengenai isu-isu keganasan terhadap wanita.

“Kami akan didik ahli wanita dahulu sebelum ia diperluaskan kepada ahli Amanah yang lain termasuk kaum lelaki agar kesedaran itu dapat dipupuk.

“Dari situ baru kita akan dapat didik masayarakat ke setiap negeri mellaui kempen ini,” kata beliau di Majlis Pelancaran Kempen VAW di GM Klang Wholesale City, 13 Mac lalu.

Fahda Nur memberikan pandangan pada sesi forum.Awan turut mengisytiharkan hari Isnin sebagai Hari Jingga SeMalaysia sebagai salah satu bentuk kempen menghentikan keganasan terhadap wanita.

Pemakaian warna jingga akan dimulakan di negeri Selangor Ahad lalu dan akan berterusan setiap Isnin.

Selain itu, Dr Siti Mariah turut menyeru seluruh pemimpin Amanah agar mempromosikan kempen ini dengan menyebutnya setiap kali sebelum memulakan ceramah.

“Saya minta pimpinan Amanah tak kira lelaki atau wanita sebut mengenai kempen ini sebelum masuk kepada isi ceramah. Dengan ini kempen ini akan menjadi segar sepanjang masa,” katanya yang juga ahli parlimen Kota Raja.

Program yang bermula jam tiga petang itu diisi slot Bual Bicara Bersama Peguam Fahda Nur Ahmad Kamar dan Muhammad Nur Hafiz Roslan mengenai undang-undang untuk melindungi rakyat dari keganasan rumah tangga.

Selain itu selebriti Wan Aishah Wan Ariffin turut berkongsi pengalaman peribadi beliau dengan bekas suami pertama.

Turut menghiasi program adalah sketsa sekumpulan remaja mengenai kisah penderaan terhadap wanita dalam rumah tangga.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu turut hadir di sepanjang program berlangsung sebagai tanda sokongan terhadap kempen tersebut.

TAGS