Malaysia Dateline

‘Pakai pelitup muka tapi bersalam ibarat puasa tapi tak solat’

Rata-rata anak jati Kelantan mengaitkan kegagalan masyarakat tempatan mematuhi penjarakan fizikal sebagai punca lonjakan kes Covid-19 di negeri pantai timur itu.

Situasi jangkitan baharu di Kelantan dilihat semakin memburuk dengan 332 kes hari ini dengan Kota Bharu dikesan paling tinggi sebanyak 134 kes.

Angka jangkitan baharu di negeri itu merupakan jumlah kes harian tertinggi yang dicatatkan setakat ini.

Selain Kota Bharu, 72 kes baharu dilaporkan di Tumpat diikuti Pasir Mas (45), Tanah Merah (42) dan Kuala Krai 11 kes.

Sementara itu, empat daerah atau lokaliti lain mencatatkan kurang 10 kes baharu hari ini iaitu Jeli dan penjara/lokap masing-masing lapan kes manakala Machang dan Bachok masing-masing enam kes.

Susulan itu, laman rasmi Facebook Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan berkenaan status kes Covid-19 hari ini turut menjadi ruang untuk rakyat Kelantan meluah pendapat.

Pola peningkatan kes pandemik tersebut di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) itu dianggap berkait rapat dengan keingkaran mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan Covid-19.

Sehinggakan ada kalangan warganet berpendapat adalah sia-sia jika bersalam walaupun mengenakan pelitup muka seolah-olah mengerjakan ibadat puasa tetapi tidak bersembahyang.

Pengguna Facebook, Shahman Awadi berkata, selagi budaya berjabat tangan tidak dielak, kes jangkitan akan terus naik mendadak walaupun pasar Ramadan dan sekolah ditutup.

“Buat PKP pun, selagi budaya bersalaman tidak boleh dihindar, kes (Covid-19) tetap tidak akan turun. Tak salam orang kata sombong. Cuba ubah budaya itu (bersalam).

“Insya-Allah, (kes jangkitan) turun. Tak guna pakai pelitup muka tapi bersalam. Ibarat puasa tapi tak solat. Sia-sia,” katanya.

Dalam masa sama, ada yang berpendapat amalan bersalaman penting bagi masyarakat di Kelantan dan jika tidak berbuat demikian atas kesedaran bagi mencegah penularan Covid-19 akan dilabel pihak lain pula sebagai takut mati kerana pandemik.

“Adat salam tu penting bagi ore Klate. Kalau dok salam demo kato takut mati keno Covit,” kata Budin.

Untuk rekod, Kementerian Kesihatan sejak Covid-19 melanda tahun lalu kerap menasihatkan agar orang ramai tidak melakukan sentuhan fizikal termasuk ‘fist bump’ atau menggenggam tangan dan melagakannya apabila bertemu.

‘Ore tino’

Risiko penularan wabak Covid-19 akibat bersalaman juga dilihat lebih tinggi dalam kalangan wanita yang lazimnya berlaga pipi ketika berjumpa rakan dan sanak-saudara.

Ore tino kalu jupo mesti nak keno cium laga-laga pipi (Orang perempuan kalau jumpa mesti nak kena cium laga-laga pipi),” komen Puan Siti Shams.

Sementara itu, Wan Zuraida Wan Ismail berdoa mengambil berkat bulan Ramadan ini agar segala usaha JKN Kelantan, Majlis Keselamatan Negeri, kerajaan negeri dan barisan hadapan dalam mengekang jangkitan Covid-19 dipermudahkan.

“Semoga kes Covid-19 di Kelantan makin turun. Semoga dibukakan hati rakyat Kelantan yang masih tak patuh SOP untuk patuh SOP,” harapnya lagi.