Malaysia Dateline

Pakai topeng muka boleh kurangkan penularan Covid-19, kajian terbaru

Sekiranya dahulu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpendirian bahawa tiada keperluan bagi mereka yang sihat untuk memakai topeng muka, kini konsensus terhadap pandangan tersebut berubah.

Dengan perdebatan seluruh dunia mengenai kewajaran pemakaian topeng muka, WHO mula mengubah pendiriannya yang menggalakkan pemakaian topeng muka ke atas orang ramai ketika berada di tempat awam.

Sebelum itu, kedua-dua negara Amerika Syarikat dan Singapura turut menasihatkan rakyat mereka memakai topeng muka apabila meninggalkan rumah.

Terbaharu, menurut satu portal South China Morning Post, Pakar kecemasan WHO, Dr Mike Ryan memaklumkan penggunaan topeng muka dapat membendung kemungkinan dijangkiti wabak berkenaan.

“Kita pasti dapat melihat keadaan di mana penggunaan topeng muka buatan sendiri di peringkat komuniti itu, mungkin membantu dalam respons komprehensif dan menyeluruh terhadap penyakit ini,” katanya

Berdasarkan laporan statistik dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika (CDC), data terbaru menunjukkan sebanyak 25 peratus daripada mereka yang dijangkiti tidak mempunyai gejala.

Ini bermakna seseorang yang berjangkit memaparkan tiada gejala dan tidak memakai topeng boleh menjangkiti individu yang sihat yang juga tidak dilindungi.

Bagaimanapun, di Singapura, rakyatnya dinasihatkan untuk menggunakan semula topeng muka yang sudah dipakai.

Manakala WHO menekankan penggunaan topeng muka bergred perubatan seperti N95, perlulah dikhususkan kepada pasukan frontliners.