Malaysia Dateline

Pakar ‘ajar’ menteri fakta sebenar risiko jangkitan Covid-19

Pakar perubatan di Hospital Pakar KPJ Damasara, Dr Musa Mohd Nordin dilihat ‘mengajar’ Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin beberapa fakta kesihatan awam berhubung risiko jangkitan Covid-19.

Menerusi satu siri Twitternya hari ini, Dr Musa berkata, risiko jangkitan pandemik itu bagi aktiviti luar adalah 18 kali kurang berbanding aktiviti di ruang tertutup.

“Udara bersih ventilasi baik. Sinar matahari kurangkan risiko. Pandemik teruk pada musim sejuk daripada musim panas.

“Saya perhatikan penganjur #LAWAN jaga jarak fizikal,” katanya merujuk pada perhimpunan Keluar dan #Lawan di ibu negara semalam yang disertai kira-kira 2,000 anak muda.

Terdahulu, Hamzah berkata, peserta himpunan itu sepatutnya tahu bahawa tindakan berkumpul secara ramai tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) boleh menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19, apatah lagi ketika varian baharu Delta boleh merebak dengan cepat.

Mengulas lanjut, Dr Musa menegaskan mesyuarat di rumah Perdana Menteri adalah aktiviti dalaman dengan risiko jangkitan Covid-19 adalah 18 kali ganda lebih tinggi.

“Ventilasi kurang. Sinar matahari pun kurang. Itu sebab saintis suruh Menteri tingkatkan ventilasi bukan basuh jalan!

“Nak tengok gambar macam #LAWAN, PM jaga tak jarak sosial. Perjumpaan dalaman langgar undang-undang, ‘kan?” ujarnya lagi.

#Lawan menuntut agar Perdana Menteri dan kabinetnya berundur atas kegagalan menangani krisis Covid-19.