Pakar Ekonomi, Prof Jomo Kwame Sundaram menggesa kerajaan mempertimbang pelaksanaan semula cukai ‘durian runtuh’ dalam usaha merombak sistem percukaian bagi menambah pendapatan negara.
Beliau mengingatkan bahawa terdapat syarikat-syarikat tertentu yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda sepanjang tempoh wabak Covid-19.
“Dalam tiga tahun kebelakangan ini ketika pandemik, ada syarikat-syarikat tertentu yang mendapat keuntungan luar biasa bukan kerana kebijakannya tetapi keadaan dunia membolehkannya.
“Cukai-cukai durian runtuh yang ditolak oleh dua pentadbiran kerajaan sebelum ini sepatutnya dikenakan.
“Malah rata-rata negara di dunia sudah mengenakannya, mengapa kita enggan mengenakan cukai durian runtuh?” tegasnya ketika ditemubual Awani.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui perubahan daripada segi rombakan sistem percukaian sukar dilaksanakan dalam masa singkat.
“Perubahan itu bukan sekaligus. Kita tidak boleh mengharapkan kerajaan yang baharu ini dapat melakukan perubahan terhadap seluruh sistem percukaian dengan serta-merta.
“Namun, beberapa langkah itu perlu, misalnya kita dapati kutipan hasil cukai daripada SST itu tidak seberapa.
“Sepatutnya, kita memikirkan satu sistem cukai nilai tambah (VAT) yang lebih saksama kalau dibandingkan GST sebelum ini yang kena pada semua orang yang tidak begitu adil.
“Begitu juga, kita harus memikirkan sistem cukai seperti cukai terhadap harta milik orang berada,” jelasnya lagi.
Hal yang sama ditegaskan oleh Ketua Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari.
Memetik Berita Harian, beliau berkata, negara memerlukan reformasi percukaian, dengan model peningkatan hasil perlu menjadi aspek perubahan yang dicadangkan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan semula kelak.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menukar nama kepada VAT (cukai nilai tambah). Apa pun reformasi yang ingin dilaksanakan, persoalan yang kerajaan perlu perhalusi adalah, adakah sekarang masa yang sesuai untuk melaksanakan reformasi percukaian seperti VAT.
“Ekonomi masih dalam fasa pemulihan dan dunia sedang menghadapi kemelesetan. Jika reformasi percukaian menyeluruh dilaksanakan, wujud kebimbangan berlaku gangguan kepada ekonomi.
“Mempertimbangkan reformasi percukaian yang berskala kecil adalah pendekatan ideal pada ketika ini,” kata Dr Yusof.
Menurutnya, kaedah percukaian dalam ekonomi digunakan sebagai alat dasar bagi mengimbangi pengagihan pendapatan di kalangan rakyat.
Jelasnya lagi, cukai yang lebih tinggi dikenakan kepada golongan yang berpendapatan tinggi dan hasil berkenaan perlu digunakan bagi membantu golongan yang berpendapatan rendah dalam pelbagai bentuk seperti subsidi makanan dan bayaran tunai.
Baca juga Polis siasat individu muat naik video cemar imej PDRM