Malaysia Dateline

Pakar ekonomi gesa wujudkan sistem pembiayaan politik

Pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram menggesa supaya sistem pembiayaan politik diwujudkan di Malaysia agar parti-parti politik tidak perlu lagi meminta wang daripada badan-badan korporat atau memperolehnya secara haram.

Beliau berkata perlu ada sumber kewangan alternatif dengan peraturan-peraturan yang sangat ketat yang harus dipatuhi oleh parti-parti politik.

“Ini (sistem pembiayaan politik) adalah sangat penting jika kita ingin melakukan sesuatu berkenaan politik wang dan perniagaan, ini adalah syarat penting,” katanya dalam ucaptama beliau pada ‘Seminar PRU14 dan Setahun Selepasnya: Analisis dan Perspektif’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,pada Khamis.

Turut hadir Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Jomo yang juga penasihat kanan Institut Penyelidikan Khazanah berkata politik wang yang diamalkan semasa pemerintahan kerajaan terdahulu memerlukan pembiayaan kewangan yang sangat besar.

Justeru, beliau mendakwa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diwujudkan untuk membiayai pilihan raya umum dan memancing sokongan rakyat.

Katanya 1MDB ditubuhkan ketika Barisan Nasional (BN) menunjukkan prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum 2008, kononnya berpunca daripada kekurangan dana.

“Tujuan ECRL adalah semata-mata untuk mendapatkan dana bagi pilihan raya umum lepas, melihatkan kepada cara ia diluluskan dengan terburu-buru oleh Kabinet pada penghujung 2017 dan pada Januari 2018, ECRL sudah mula beroperasi,” kata beliau.

Kerajaan baharu, yang dipimpin oleh Pakatan Harapan baru-baru ini memutuskan untuk menyambung semula project ECRL dengan kos pembinaannya dikurangkan sebanyak 32.8 peratus, iaitu daripada kos asal RM65.5 bilion kepada RM44 bilion.- BERNAMA