Malaysia Dateline

Pakar ekonomi persoal kerajaan keluar dana KWAN tanpa kelulusan Parlimen

Kerajaan tidak wajar meluluskan pindaan ke atas Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988 (Akta 339), yang membolehkan dana daripada kumpulan itu diguna bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin.

Pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi berpendapat dana KWAN adalah untuk generasi masa depan dan pengeluarannya memerlukan kelulusan Parlimen.

“Kerajaan menggunakan darurat untuk keluarkan dana tanpa kelulusan Parlimen. Peruntukan pembelian vaksin sudah diluluskan oleh Parlimen dalam Belanjawan 2021.

“Kalau tak cukup, kemukakan bajet tambahan kepada Parlimen. Tetapi sekarang baru satu juta lebih sikit vaksin yang diberi,” katanya di Twitter.

Semalam, Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 berkuatkuasa yang membolehkan kerajaan menggunakan dana daripada kumpulan itu bagi tujuan pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan berhubung vaksin.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan subseksyen baharu ke dalam Seksyen 6, telah dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 14 April lalu menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Ia selepas Seri Paduka berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki bagi meminda akta itu.

Subseksyen baharu ini menyatakan “pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)”.

Mengulas lanjut, Dr Nungsari berkata, semenjak KWAN ditubuhkan oleh Akta Parlimen pada tahun 1988, pernah digunakan sekali seperti dinyatakan dalam Laporan Tahunan 2016.

“Sekali sejumlah RM42 juta untuk projek Malaysia Wetlands Sanctuary, tanpa diberitahu bila.

“Petronas penyumbang tunggal, menyumbang RM9.1 bilion sejak 1988. Dana diurus oleh Bank Negara. Setakat 2016, dana berjumlah RM16.4 bilion,” kata Dr Nungsari lagi.