Pakar forensik dedah bedah siasat kedua Tangmo tak temui luka pada muka, gigi, dan tiada tulang patah

Oleh KIM SYAZIE

Lama juga isu kematian aktres Thailand, Tangmo Nida ni senyap lepas menggemparkan dunia awal Februari lalu. Terbaru, pakar forensik dedah tidak menemui sebarang luka pada bahagian muka atau kepala, gigi dan tulang patah yang pernah dilaporkan sebelum ini.

Bagaimanapun menurut The Haiger, hasil bedah siasat yang kedua membawa kepada penemuan 22 kesan luka kecil di bahagian kaki pelakon berkenaan.

bedah siasat kali kedua itu telah dilakukan pada beberapa minggu yang lalu di atas permintaan dari ibunya sendiri.

“Institut Sains Forensik Pusat Kementerian Kehakiman (CIFS) mendedahkan perkara tersebut dalam sidang media Khamis lalu dengan mendedahkan 11 perkara disyaki oleh ibunya yang meminta laporan kedua.

“Pakar patologi dari institut itu telah menjalankan pemeriksaan tambahan di bawah pengawasan panel senat pakar forensik pada 17 Mac yang lalu.

“Postmortem ini menumpukan sepenuhnya kepada 11 perkara yang menjadi kebimbangan itu,” lapor portal berkenaan.

Difahamkan, CIFS telah berjaya merungkai perkara yang dipersoalkan oleh ibu mendiang yang disahkan oleh setiausaha menteri kehakiman.

Namun, disebabkan keadaan mendiang, ahli patologi tidak mampu untuk membuat kesimpulan mengenai beberapa perkara.

Selain itu, pakar patologi juga berpendapat bahawa bedah siasat pertama telah dilaksanakan dengan baik di Institut Perubatan Forensik Hospital Besar Polis.

“Bedah siasat kedua hanyalah untuk memenuhi permintaan ibunya yang kebanyakannya telah diketepikan.

“Bedah siasat awal telah telah dijalankan secara menyeluruh dengan tidak mengecualikan sebarang penemuan penting.

“Laporan penuh hanya diberikan kepada ibunya walaupun polis juga boleh mendapatkan salinan tersebut,” katanya.

Memetik The Haiger, buat masa ini CIFS telah melaporkan penemuan seperti tiada kesan luka di kepala dan tiada luka di bahagian muka.

Selain itu, tiada juga luka di leher, manakala luka melecur di bahagian dada telah diperiksa, selain 22 kesan luka di kaki dan sendi telah dilaporkan.

Di samping itu, tiada luka yang ditemui di bahagian belakangnya, malah laporan juga dibuat mengenai ‘paip angin’ dan alat kelaminnya.

Difahamkan, kuku jarinya dipotong untuk pemeriksaan semula dan pengesanan pakaian pada badan adalah berbeza daripada bedah siasat pertama.

Tangmo dilaporkan terjatuh ke dalam sungai Chao Phraya di Nonthaburi pada 24 Februari lalu. Selepas bedah siasat pertama dilakukan, polis masih belum dapat menyimpulkan punca kematian dengan jelas tentang punca aktres itu jatuh ke dalam sungai.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/selepas-prof-tak-boleh-duduk-dengan-orang-b40-tular-pula-kisah-tasnim-shah-uitm/

Baca juga: https://themalaysialife.com/harga-makanan-ipt-melonjak-naik-selepas-mula-fasa-endemik/