Pakar ingatkan jangan berbohong, tindas doktor kontrak

Oleh ARIF ATAN

Pakar Perunding Perubatan dan Pakar Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah mengingatkan agar hak doktor kontrak dibela.

Menerusi Twitternya, beliau mengulangi peringatan supaya doktor kanan menjunjung tinggi profesionalisme dan integriti berhubung tindakan doktor kontrak terbabit dalam himpunan Hartal Doktor Kontrak semalam.

“Jangan. Saya ulangi, jangan sekali-kali meletakkan profesionalisme dan integriti di bawah perkara lain.

“Tak payahlah nak minta jadual waktu, daftar mereka. Mengapa tiba-tiba nak submit kepada orang atas? Sebelum ni mereka tidak minat pun. Tidak ada yang lebih baik untuk dilakukan? bidasnya.

Pagi semalam, lebih 1,000 doktor kontrak di seluruh negara antaranya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dalam himpunan Hartal Doktor Kontrak.

Mereka memegang plakad antara lain tertera ‘Doktor Kontrak’, ‘Pakar Masa Depan’, ‘Tetap Lawan’, ‘Kebenaran Itu Pahit’ dan ‘Nak Tetap Bukan Lanjut Kontrak’.

Perarakan mogok secara aman di HSA pula menyaksikan puluhan doktor kontrak yang memakai pakaian hitam berarak secara aman sejauh kira-kira tiga kilometer (km) mengelilingi hospital berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Rafidah berkata, tuntutan agar kerajaan menyerap mereka menjadi pengamal perubatan tetap di Kementerian Kesihatan (KKM) perlu disokong.

Beliau turut mempersoal di mana rasa empati golongan doktor kanan tertentu yang berbohong dan menindas doktor kontrak.

“Teruskan. Tolong mereka.

“Kepada doktor kanan yang TIDAK BERCAKAP benar dan menindas mereka; saya nak tanya.

“Anda tidak mempunyai empati? Apa yang telah berlaku kepada anda?

“Apa yang berlaku, akan kembali kepada anda. Fikir semula; sebelum anda bertindak atau bercakap,” tegas Dr Rafidah lagi.