Malaysia Dateline

Pakar kesihatan saran penerima AstraZeneca diberikan Pfizer untuk dos kedua

Pakar kesihatan, Datuk Dr Mohd Musa Nordin mencadangkan dua strategi penting kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) susulan kenyataan kerajaan yang akan mempertimbangkan untuk melaksanakan kaedah heterologi atau campuran dua vaksin.

Pakar Perunding Pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damansara itu berkata, untuk individu yang pernah dijangkiti Covid-19, hanya satu dos vaksin Pfizer sahaja diperlukan dan bukannya dua.

“Yang telah ambil dos pertama AstraZeneca, berikan Pfizer untuk dos kedua.

“(Ini dapat) meningkatkan antibodi atau ketahanan badan 3.5 kali ganda berbanding dua dos AstraZeneca.

“(Selain itu) rangka semula semua 700,000 dos kedua Pfizer (untuk diberikan) kepada (individu) yang tidak pernah kena Covid-19,” ciapnya dalam satu siri Twitternya hari ini.

Terdahulu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sedang mengkaji untuk memberikan dua jenis vaksin, berikutan banyak negara sudah berbuat demikian.

Katanya, kaedah itu adalah bagi meningkatkan antibodi peneutralan serta keberkesanan sesuatu vaksin.

Sementara itu menerusi ciapannya, Mohd Musa turut berkongsi jawapan berhubung vaksin AstraZeneca dalam program soal jawab bersama radio Kool FM hari ini.

Mengulas tentang strategi ‘first dose’ yang sepatutnya diutamakan terlebih dahulu seperti mana yang dilakukan beberapa negara lain, Mohd Musa berkata United Kingdom (UK) merupakan negara yang pada awalnya menganjurkan strategi tersebut dan ia amat berjaya pada mulanya.

Namun beliau berkata, disebabkan penularan virus alpha dari UK, beta dari Afrika Selatan dan Delta dari India yang agak kebal melawan, KKM terpaksa memberi dos dua lebih awal untuk mencapai keberkesanan yang lebih tinggi bagi melindungi daripada virus Covid-19.

Beliau turut berkongsi bahawa secara amnya tempoh antara dos pertama dan dos kedua adalah berbeza mengikut jenis vaksin tersebut.

“Sinovac dua minggu; Pfizer tiga minggu; manakala AstraZeneca selama 12 minggu

“Vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) (memerlukan) hanya satu dos sahaja. Kajian sedang dilakukan untuk dos kedua bagi kedua-dua vaksin CanSino dan J&J.

“Satu lagi vaksin yang amat berkesan yang diiktiraf Badan Kesihatan Dunia tetapi belum diiktiraf di Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) ialah Moderna. Jarak dos ialah empat minggu,” ulasnya.