Malaysia Dateline

Pakar nasihat pemimpin Pas tidak berkongsi hadis sangat daif, palsu

Pensyarah fekah dan usul fiqh Dr Ustaz Rozaimi Ramle menasihatkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Ustaz Mokhtar Senik agar berkongsikan hadis sahih sahaja.

Beliau memberi reaksi tersebut selepas mendapati bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang itu berkongsikan hadis di dinding Facebook tanpa menyatakan statusnya.

“Mungkin Ustaz Mokhtar ada penjelasan ilmiah tentang status hadis ini kerana beliau ada menyatakan beliau ada berkongsi matan dan syarahnya di dalam kepalanya.

“Saya harap jika boleh dikongsikan jika beliau ada pandangan berbeza,” katanya.

Ustaz Rozaimi menjelaskan hadis pertama yang dikongsikan Mokhtar itu diriwayatkan oleh Qiwam al-Sunnah atau sesetengah ulama, kata beliau, memanggilnya dengan Qawwam al-Sunnah dengan maksud:

“Tiga golongan yang berbicara dalam keadaan aman sedangkan manusia sedang dalam proses hisab: lelaki yang tidak takut celaan orang yang mencela kerana Allah, lelaki yang tidak menghulurkan kedua tangannya kepada perkara yang tidak halal baginya dan lelaki yang tidak melihat kepada perkara yang diharamkan baginya. (Qiwam al-Sunnah, al-Targhib wa al-Tarhib, jil. 3, hal. 144)

“Hadis ini beliau riwayatkan dengan sanad dari jalur ‘Anbasah bin Abdul Rahman al-Qurasyi.

” ‘Anbasah bin Abdul Rahman adalah perawi yang matruk (ditinggalkan riwayatnya) bahkan sebahagian ulama hadis melabel beliau sebagai pemalsu hadis. Berikut komentar ulama hadis:

1. Al-Bukhari berkata: beliau perawi hadis munkar dan ulama hadis meninggalkan hadisnya. Al-Tirmizi meriwayatkan dari al-Bukhari dengan katanya: binasa hadisnya.

2. Abu Hatim al-Razi berkata: beliau memalsukan hadis.

3. Abu Zur’ah berkata: perawi hadis munkar dan perawi terlalu lemah.

4. Yahya bin Maien berkata: tiada nilai.

5. Al-Nasaie berkata: matruk (ditinggalkan riwayatnya)

6. Ibn Hibban berkata: beliau pemilik perkara-perkara (hadis) palsu.

7. Al-Azdi berkata: beliau pendusta.

8. Ibn Adi berkata: beliau perawi hadis munkar.

9. Ibn Hajar menyimpulkan beliau adalah perawi matruk.

(Lihat: Ibn Adi, al-Kamil, jil. 6, hal. 459, al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, jil. 22, hal. 418, al-Zahabi, Tarikh al-Islam, jil. 4, hal. 703, al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jil. 3, hal. 301, Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, hal. 433)”

Sehubungan itu, Ustaz Rozaimi menyifatkan hadis tersebut sangat daif dan jika menurut penilaian sebahagian ulama ia adalah palsu.

“Saya mengharapkan agar al-Fadhil Ustaz Mokhtar agar tidak berkongsi hadis bermasalah ini tanpa menyatakan statusnya.

“Ini kerana nama Nabi sallallah alaih (selain dari nama Malaikat) sangat besar dan kita perlu berhati-hati menyandarkan sesuatu kepada baginda,” katanya hari ini.