Pakar Nefrologi minta Adham Baba buat keputusan ikut fakta sains

Oleh Nasuha Rahman

Menteri Kesihatan Datuk Dr Adham Baba diminta membuat keputusan hanya berdasarkan fakta sains bukannya menggunakan kuasa untuk diri sendiri.

Pakar Perunding dan Pakar Nefrologi, Hospital Putrajaya Rafidah Abdullah dalam surat terbukanya kepada Adham Baba menginginkan agar menteri terbabit memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting buat mereka iaitu tumpukan kepada sains.

Beliau juga mempersoalkan tindakan kuarantin yang dibuat secara selektif dan kenapa tidak mengikuti SOP yang sedia ada sebelum ini.

“Nak kurangkan kuarantin, kenapa perlu selektif? Buat sahajalah untuk semua. Letak SOP, jalan terus.

“Tidak perlulah kita gunakan kuasa untuk diri, keluarga dan kawan-kawan sendiri; gunalah ianya untuk memanfaatkan agama, bangsa dan negara,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau turut mencadangkan kepada menteri terbabit agar tidak menggunakan kuasa untuk menjarakkan darjat yang sedia ada.

“Cuma sedikit cadangan kepada Dato Sri; daripada menggunakan kuasa untuk menjarakkan darjat sedia ada, apa kata Dato Sri mengurangkan jurang “darjat” antara pegawai-pegawai KKM.

“Dato Sri tahu kan, siapa yang menjaga wad-wad SARI dan COVID? Ramai mereka adalah pegawai-pegawai kontrak; semua lapisan: terutamanya pegawai-pegawai perubatan muda.

“Kami tidak praktis darjat-darjat sebegini. Kami hanya pegawai professional. Semua dilayan sama rata,”katanya turut memaklumkan surat itu sekadar luahan dari pegawai bawahan.

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba telah mengeluarkan perintah yang melonggarkan peraturan kuarantin kepada rakan-rakan anggota kabinet yang melakukan perjalanan rasmi ke luar negara.

Perintah tersebut pada dasarnya mengurangkan tempoh kuarantin menteri dari 10 ke tiga hari.

Perintah itu dinamakan “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” terbit pada Warta Persekutuan. Ia ditandatangani Adham dan berkuatkuasa pada 9 Feb.