Malaysia Dateline

Pakar PBB berlepas ke Arab Saudi untuk siasat serangan ke atas loji minyak

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu berkata pakar badan dunia itu telah berlepas ke Arab Saudi untuk menyiasat serangan dron ke atas loji minyak utama negara tersebut yang berlaku hujung minggu lepas, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Pakar terbabit yang diberi kuasa oleh Jabatan Hal Ehwal Politik dan Pembinaan Keamanan (DPPA) “akan melakukan tugasan mereka berdasarkan mandat yang diberikan Majlis Keselamatan kepada mereka,” kata Guterres kepada pemberita pada satu sidang akhbar.

Guterres berkata serangan pada Sabtu adalah satu “peningkatan yang dramatik” di rantau Teluk itu.

AS telah menuding jari kepada Iran yang didakwa melancarkan serangan ke atas loji minyak syarikat Aramco milik Arab Saudi yang telah menjejaskan output minyak negara itu.

Pemberontak Houthi di Yaman telah mengaku melancarkan serangan itu.

Iran bagaimanapun telah menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu meskipun ketegangan semakin memuncak susulan spekulasi pembalasan dari Amerika Syarikat dan sekutunya.

“Kita telah menyaksikan kesan segera terhadap pasaran minyak, maka jika berlaku satu konfrontasi besar di rantau Teluk, ia akan membawa kesan yang buruk kepada rantau ini dan global,” kata Guterres.– BERNAMA