Pengumuman kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.30 peratus yang merekodkan amaun tertinggi sejak tujuh tahun itu disifatkan berada di tahap membanggakan.
Pakar pengurusan dan pelaburan kewangan, Datuk Dr Nazri Khan atau lebih dikenali sebagai DDNK berkata, KWSP kini adalah tabung pencen yang terbaik di dunia mengalahkan negara-negara besar yang dividennya hanya sekitar 4 ke 5 peratus.
“6.3 peratus itu adalah yang terbaik di dunia . Untuk orang yang tak tahu, KWSP adalah tabung dana persaraan yang paling terbaik. Jepun, Norway, dan Singapura sendiri hanya memberi agihan dividen antara 4 ke 5 peratus.
“Tahniah. Walaupun ramai rakyat Malaysia yang tidak menghargai. Ramai yang membuat lawak mengatakan enam peratus ini tak cukuplah. Tetapi mereka sudah buat kerja yang terbaik,” katanya.
DNDK berkata sedemikian dalam satu perkongsian yang dimuat naik di platform TikTok untuk mengulas laporan berhubung kadar dividen KWSP untuk 2024 yang lebih tinggi dari tahun kebelakangan ini.
Menerusi perkongsian yang sama, DDNK turut menyeru agar lebih ramai lagi pekerja di Malaysia terus mencarum dengan KWSP supaya dapat menikmati hasil daripada kerja keras mereka.
Terdahulu, KWSP mengumumkan kadar dividen 6.30 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 6.30 peratus untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2024 dengan jumlah pembayaran keseluruhan sebanyak RM73.24 bilion.
Kadar pulangan dividen tertinggi sejak 2017 bagi kedua-dua Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah itu juga menggambarkan usaha berterusan KWSP menjaga kepentingan pencarum.
Baca juga: Akhirnya beras tempatan dah ada di pasar raya pada Ramadan pertama