Pakar perlembagaan selar lulus Akta MKN selepas Raja-raja minta diperhalusi

Pakar perlembagaan selar lulus Akta MKN selepas Raja-raja minta diperhalusi

Pakar perlembagaan Dr Aziz Bari menyelar sikap menteri-menteri kerajaan yang enggan mengulas mengenai Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diwartakan walaupun selepas Majlis Raja-Raja Melayu menitahkan supaya ia diperhalusi.

Merujuk kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi yang mengelak daripada menjawab soalan wartawan mengenai MKN sewaktu berkempen di Sungai Besar Jumaat lalu, Aziz berkata tindakan Zahid itu salah dari sudut perlembagaan.

Beliau juga berkata, sikap sama yang ditunjukkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi undang-undang Datuk Seri Nancy Shukri juga menunjukkan mereka mahu melepaskan diri.

“Di sisi perlembagaan Zahid salah kerana sebagai orang kedua dalam kabinet beliau adalah bertanggung jawab manakala Nancy Shukri adalah menteri biasa.

“Apa pun Nancy juga salah kerana sebelum ini beliau dilaporkan berkata RUU berkenaan di bawah tanggungjawab Shahidan Kassim

“Nampaknya anggota kabinet ini semuanya mahu melepaskan diri. Mereka lupa bahawasanya mereka diikat oleh prinsip tanggung jawab bersama kabinet (collective responsibility),” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Menurut Aziz juga, semua anggota kabinet perlu mempertahankan RUU berkenaan di khalayak ramai bukan melepaskannya kepada orang lain.

“Di bawah prinsip itu semua anggota kabinet perlu mempertahankan RUU berkenaan di khalayak ramai bukan melepaskan kepada orang lain. Apalagi Zahid sebagai timbalan perdana menteri,” katanya.

Pada 17 Februari lalu, Majlis Raja-Raja meminta supaya Rang Undang-undang MKN yang akan memberi kuasa mengisytihar darurat kepada Majlis Keselamatan Negara yang diketuai Perdana Menteri diperhalusi.

Namun menurut warta yang disiarkan pada Selasa lalu, rang undang-undang itu diisytiharkan sebagai diperkenankan pada 18 Februari 2016, mengikut Fasal 4 (a) Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Fasal 4 (a) menyatakan bahawa rang undang-undang itu menjadi undang-undang 30 hari selepas ia dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, walaupun Seri Paduka Baginda tidak memberi perkenan.

COMMENTS

Wordpress (0)