Malaysia Dateline

Pakar persoal mengapa kadar vaksinasi Covid-19 di Selangor paling rendah

Pakar perunding pediatrik di Hospital Pakar KPJ Damasara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin mengkritik tindakan kerajaan yang tidak mengutamakan negeri-negeri dengan kadar jangkitan Covid-19 tertinggi, untuk mendapatkan vaksinasi.

Menerusi satu siri Twitternya hari ini, Dr Musa menegur Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) yang hanya melaporkan jumlah individu divaksin, tetapi tidak mengambil kira kadar vaksinasi yang diperlukan untuk negeri-negeri berisiko.

Beliau berkata, Selangor sepatutnya menjadi tumpuan untuk program vaksinasi Covid-19 kerana negeri itu merekodkan kadar jangkitan wabak berkenaan yang kedua tertinggi di Malaysia.

“JKJAV tolonglah jangan buat kesilapan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan hanya melapor nombor orang yang divaksin.

“Asas Epidemiology101 iaitu mesti mengira kadar vaksinasi. Kadar kes Covid-19 di Selangor adalah yang ketiga tertinggi.

“Walaupun bebanan kerja yang tinggi, kadar kematian di Selangor adalah yang keempat paling rendah.

“Selangor sepatutnya menjadi tumpuan untuk program vaksinasi Covid-19. Namun sebaliknya, kadar vaksinasi di negeri itu adalah yang paling rendah di Malaysia,” katanya.

Dr Musa merujuk kepada statistik pada 2 Mac yang memaparkan bilangan individu yang menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk di negeri-negeri di Malaysia.

Menerusi graf yang dilampirkan, Selangor mencatat kadar terendah dengan hanya 31 orang bagi setiap 100,000 penduduk telah divaksin diikuti Pulau Pinang 103 dan Kedah 138 orang.

Sementara itu, Putrajaya mencatatkan sebanyak 934.5 per 100,000 penduduk telah menerima vaksin pada tempoh sama.

Untuk rekod, Selangor mempunyai kira-kira 6.8 juta penduduk manakala Putrajaya sekitar 100,000 penduduk.

Sehubungan itu, Dr Musa berpendapat JKJAV dan KKM telah gagal menyelaras program vaksin dengan tepat, berkesan dan profesional.

Menurutnya, tidak hairanlah jika petugas barisan hadapam amat marah dan kecewa dengan cara kerja JKJAV dan KKM kerana budaya kerja yang tidak cekap yang bertentangan dengan nilai-nilai murni akses vaksin.

“Kesaksamaan dan keadilan akses vaksin mesti dijaga. Hentikan politik pandemik ini. Kita sudah mual dengan kata-kata polititik yang manis.

“Gulungkan lengan baju anda dan fokus kepada gaya kerja yang mengutamakan vaksinasi #Frontliners dan negeri-negeri yang paling tinggi kadar Covid-19,” kata Dr Musa lagi.