Pakar perubatan nasihat wajib guna topeng gas atau segera keluar dari Pasir Gudang

Pakar perubatan nasihat wajib guna topeng gas atau segera keluar dari Pasir Gudang

Topeng muka (ties on 3Ply mask) dan topeng muka N95 bukan untuk kegunaan ketika berlaku pencemaran gas.

Seorang doktor kesihatan pekerjaan menasihatkan penduduk di Pasir Gudang yang kini terjejas teruk dengan krisis pencemaran toksik supaya keluar dari kawasan tersebut.

Dr Rosli Abd Jalil turut mengingatkan topeng yang digunakan rata-rata warga sekolah tidak mampu menapis udara beracun.

“Anda semua memakai topeng yang salah! Topeng muka (ties on 3Ply mask) dan topeng muka N95 BUKAN untuk kegunaan ketika berlaku kebocoran gas atau pencemaran gas.

“Topeng tersebut hanya untuk mengelakkan habuk dan sesetengah kuman di udara tetapi tidak dapat menapis udara beracun!!” tegasnya.

Peringatan di Facebook beliau itu setakat jam 2.40 petang tadi menyaksikan lebih 2,000 perkongsian dan ratusan komentar hanya dalam tempoh 24 jam.

Akibat penggunaan topeng yang salah, Dr Rosli berkata, petugas dan mangsa kejadian terus-menerus menghidapi gejala keracunan gas.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya mereka terlibat wajib menggunakan topeng gas sambil menyertakan imej barang tersebut sebagai contoh.

Topeng gas wajib dipakai di kawasan dicemari bahan toksik.

Jelasnya, topeng lengkap dengan penapis udara itu hanya boleh didapati di unit bomba dan penyelamat (HAZMART Team) dan beberapa kilang kimia Benzene dan bahan kimia.

“Kepada semua penyelamat, anda WAJIB menggunakan topeng gas ini. Kepada orang awam yang tiada topeng gas ini, inilah masanya anda patut keluar dari kawasan bencana secepat mungkin!” tegas Dr Rosli lagi.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin memberitahu sebanyak lapan sebatian kimia berbahaya disahkan dibuang di Sungai Kim Kim.

Antara bahan toksik itu ialah metana, hidrogen klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toulene, xylene and limonene.

Kesemua sebatian kimia itu ditemui selepas Jabatan Kimia menganalisis secara lebih terperinci sampel air Sungai Kim Kim, khususnya di kawasan sisa kimia berbahaya berkenaan dibuang.

Radius pencemaran udara ekoran pembuangan sisa toksik secara haram di Sungai Kim Kim menjangkau kawasan seluas 15 kilometer dari sungai tersebut akibat pengewapan, angin kencang dan hujan.

Ribuan murid terjejas apabila 111 sekolah diarah tutup serta-merta manakala ratusan dirawat akibat sesak nafas, pening dan muntah.