Pakar perundangan bantah hasrat kerajaan terima ICERD

Pakar perundangan bantah hasrat kerajaan terima ICERD

 

Rata-rata pakar perundangan membantah hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi (International Convention for the Elimination of all forms of Racial Discrimination) atau ICERD.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berpendapat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan segala dasar yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak perlu dihentikan jika Malaysia mengesahkan ICERD.

Padahal, jelasnya, peruntukan yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan dasar yang wujud selama ini telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu.

Tun Abdul Hamid Mohamad

“Saya berani mengatakan, jika konvensyen itu disahkan, dengan serta-merta, akan ada pihak yang akan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen itu.

“Semuanya sudah pun diperuntukkan dalam Perlembagaan kita. Kita tidak ada masalah dengannya.

“Saya katakan, tujuan utama konvensyen itu hendak disahkah adalah kerana mereka mahukan keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak itu, dihapuskan.

“Mereka tidak berkata dengan terus-terang bahawa itulah tujuan mereka, untuk mengelak bantahan. Maka, mereka menuntut supaya Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, kata Abdul Hamid, langkah pengecualian bahawa Malaysia menerima konvensyen itu setakat tidak bercanggah dengan Perlembagaan perlu diberi penekanan jika kerajaan mahu juga meratifikasi ICERD.

Sementara itu, bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Salleh Buang berkata, takrif “diskriminasi ras” (racial discrimination) dalam konvensyen yang mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969 itu jelas bercanggah dengan Perkara 153.

“Jika konvensyen ini dilaksanakan di negara ini, parti-parti politik seperti PPBM, UMNO, MCA, MIC dan parti-parti berasaskan etnik di Sabah dan Sarawak menjadi tidak sah (illegal),” dipetik dari artikelnya di Utusan Malaysia.

Datuk Salleh Buang

Menurut bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu, Perkara 153 perlu dipinda yang bukan hanya memerlukan undi majoriti dua pertiga Dewan Rakyat dan Dewan Negara, bahkan juga kelulusan dan persetujuan Majlis Raja-Raja jika kerajaan berhasrat meratifikasi ICERD dan melaksanakan sepenuhnya kehendak konvensyen itu di negara ini.

“Hati kecil saya berkata, kalau kerajaan Pakatan Harapan ini masih lagi menghadapi masalah melaksanakan banyak lagi janji lain dalam manifestonya yang ada kait rapat dengan kepentingan rakyat miskin dan terpinggir di negara ini, kenapa (atas alasan mahu melaksanakan manifestonya) ia kini terburu-buru mahu meratifikasi suatu konvensyen yang bukan hanya bertentangan dengan Perlembagaan negara ini, bahkan juga tidak mendapat restu 100 peratus rakyat negara ini dan belum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja?” bidas Salleh lagi.

Bagi Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pula, ICERD tidak harus diratifikasi secara terburu-buru sebaliknya kerajaan perlu mengadakan proses rundingan dengan semua pihak berkepentingan serta mendapatkan mandat rakyat terlebih dahulu.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Bantahan terhadap hasrat kerajaan untuk meratifikasi ICERD tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Senator P Waytha Moorthy dilapor berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk konvensyen itu pada suku pertama tahun depan.

Waytha Moorthy yang dikenali sebagai pemimpin Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan pernah menganggotai Kabinet selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada era BN itu berkata, ratifikasi beberapa konvensyen dan triti tersebut selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.

Bagaimanapun ekoran bantahan banyak pihak termasuk Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Waytha Moorthy kemudiannya memberi jaminan langkah meratifikasi ICERD tidak menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan serta institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan agensi lain yang berperanan mengangkat masyarakat Bumiputera.

Menurutnya lagi dipetik portal Free Malaysia Today pada 27 Oktober lalu, kerajaan juga tidak terburu-buru untuk meratifikasikan konvensyen itu serta akan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan berkenaan perkara tersebut.

Untuk rekod, Malaysia, Brunei dan Israel adalah antara 15 negara setakat ini yang tidak mengesahkan Konvensyen ICERD.