Pakar tentukan dasar negara bukan ikut fahaman politik peribadi

Pakar tentukan dasar negara bukan ikut fahaman politik peribadi

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan melaksanakan polisi berpandukan nasihat pakar dalam bidang masing-masing bagi kepentingan rakyat dan negara.

Menurutnya, hal tersebut dapat dilihat pada pelantikan lima pakar terkenal bagi mengisi jawatan dalam Majlis Penasihat Kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 12 Mei lalu.

“Mereka ini memang pakar-pakar ekonomi yang sedang meneliti isu subsidi kepada rakyat, GST (cukai barang dan perkhidmatan) untuk meringankan beban kos hidup rakyat.

“Kita sekarang sudah berikan kuasa kepada mereka (Majlis Penasihat Kerajaan) supaya apabila ada lantikan penuh menteri dan Kabinet ditubuhkan, mudah untuk kerajaan bertindak.

“Tiada lagi rangka dasar mengikut fahaman politik peribadi sebaliknya kita berasaskan fakta daripada pakar masing-masing,” jelasnya ketika sesi FB Live Sinar Harian, semalam.

Untuk rekod, Majlis Penasihat Kerajaan bertindak menasihati kerajaan mengenai ekonomi dan kewangan ketika proses peralihan kuasa.

Lima pakar yang mengisi jawatan dalam majlis itu adalah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Selanjutnya, Syed Saddiq berkata, Tun Mahathir bertindak pantas menentukan hala tuju kerajaan hanya dalam tempoh kurang seminggu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Pemuda Bersatu berkenaan memberitahu, tindakan Tun Mahathir itu memandangkan PH harus melaksanakan tawarannya kepada rakyat yang telah terbukti berjaya menukarkan parti pemerintah terdahulu.

“Peralihan kuasa di tangan rakyat bukan di tangan pemimpin politik. Kita kita.perlu menunaikan janji.

“Sebab itu Tun Mahathir apabila dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri, cepat saja beliau bertindak awal-awal lantik Menteri Kanan, jumpa Ketua Setiausaha Negara, panggil SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk tindakan susulan.

“Setiap hari rakyat menilai kerajaan yang baru ini. Tun Mahathir sudah jumpa pegawai-pegawai tinggi kerajaan untuk bincangkan bagaimana untuk laksanakan janji 100 hari kerajaaan Pakatan Harapan.

“Terbaharu, hari ini (semalam) ditubuhkan Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang antaranya dianggotai Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi (pensyarah undang-undang dan pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya) dan Datuk S Ambiga (Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan),” jelasnya lagi.

Turut menganggotai Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan itu adalah dua hakim bersara Mahkamah Rayuan iaitu Datuk KC Vohrah dan Datuk Mah Weng Kai yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji juga antara anggota jawatankuasa berkenaan yang akan mengemukakan syor kepada Majlis Penasihat Kerajaan sebelum laporan lengkap diserahkan kepada Tun Mahathir.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS