Pakatan baharu MCA-MIC tidak gugat PH

Pakatan baharu MCA-MIC tidak gugat PH

AMANAH berpandangan krisis MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) tidak sekali-kali mengugat Pakatan Harapan (PH) walaupun kedua-dua komponen BN itu berhasrat mencari pakatan baharu.

Naib Presiden Datuk Dr Hasanuddin Mohd Yunus berkata, dengan tindak tanduk MCA dan MIC hari ini, jelas membayangkan Umno yang mengetuai BN kini berhadapan dengan krisis keyakinan oleh rakan komponennya.

“Saya melihat MCA-MIC rasa tidak selesa dengan BN. Ini membayangkan BN tidak boleh diharap khususnya Umno dalam perkembangan terkini.

“Saya percaya bila mereka (MCA-MIC) bertindak keluar BN mereka akan cari identiti baru.

“Tidak ada masalah mereka mewakili kaum India atau Cina tetapi mereka mestilah tidak rasis dalam organisasi parti,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kemungkinan Mesyuarat Majlis Tertinggi BN yang akan berlansung hari ini, akan menentukan kelangsungan keanggotaan MCA-MIC dalam komponen BN.

Kata Ahli Parlimen Hulu Langat ini lagi krisis MCA-MIC dengan Umno sesuatu yang positif sama ada mereka akan wujudkan pakatan baharu atau berkemungkinan mahu menyertai PH.

“AMANAH sentiasa terbuka kepada mana-mana individu atau parti yang ingin bawa kebaikan kepada negara berdasarkan kepada prinsip dan perkongsian yang dibina PH, ia tidak akan timbul masalah.

“Dalam PH pula sudah pasti kami mahukan berlaku ‘identiti baru’ untuk melambangkan MCA-MIC itu bersih, berintegiri, tidak amal rasuah, amalkan urus tadbir baik dan tidak rasis.

“Ini kerana dalam politik tidak mustahil sekiranya MCA dan MIC bersedia utuk mengubah cara mereka bekerja, minda mereka dan bersedia bersama dalam perjuangan rakyat yang dipimpinan PH, peluang itu akan terbuka kepada mereka untuk bersama PH,” ujarnya.

Ditanya sama ada lebih baik MCA-MIC bekerjasama dengan PH sebagaimana kerjasama politik yang dilakukan Umno-Pas hari ini, berbanding menyertai komponen PH, Hasanuddin berpandangan ia masih terlalu awal untuk menelah.

“Perlu bagi mereka masa dan peluang untuk menentukan ‘kenderaan’ mana yang akan mereka mahu naiki.

“Bukan bermakna keluar BN hari ini esok mereka nak sertai PH atau tubuh parti baru.

“Bagi PH ia pastinya mengambil masa. Kita perlu beri peluang kepada mereka untuk memahami perjuangan rakyat dan memberi peluang kepada rakan komponen PH menilai kesesuaian MCA-MIC jika mahu sertai PH.

“Sekiranya penilaian komponen PH mendapati mereka sedia berubah dan mahu membentuk dimensi baru dalam politik negara, saya fikir perkara itu tidak mustahil berlaku,” terangnya.

Hasanuddin juga berkata, momokan Umno- Pas terhadap perkauman akan lenyap dengan sendirinya kerana sebagai parti komponen MCA-MIC tidak boleh memainkan isu perkauman sebagaimana dilakukan Umno-Pas.

“Jika pemimpin dan ahli MCA-MIC sama-sama bermain dengan isu perkauman, saya yakin kedua-dua parti akan hilang populariti dikalangan ahli dan penyokongnya.

“Andainya berlaku gabungan MCA-MIC ramai yang kata akan menjadi saingan kepada PH untuk meraih undi bukan Melayu. Bagi PH kita membawa panji supaya tidak menyahut seruan rasis ini yang dimainkan Umno-BN sebaliknya kita menyeru kepada matlamat untuk membina Malaysia.

“Sekiranya mereka tubuhkan pakatan MCA-MIC dengan tujuan pecahkan undi bukan Melayu untuk permulaan setahun dua mereka akan seronok.

“Tetapi saya percaya jika PH diberi peluang dalam tempoh lima tahun ini rakyat akan dapat menilai PH benar-benar membawa semangat Malaysia dan membina kehidupan perkongsian yang cukup indah,” ujarnya.