Malaysia Dateline

Pakatan Harapan akur kehendak rakyat, kata SUA AMANAH

Pakatan Harapan (PH) akur dengan kehendak rakyat yang memenangkan BN dalam PRK Cameron Highlands, Sabtu lalu, kata Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pas yang telah berjaya memenangkan BN dalam PRK tersebut.

“Sebenarnya keputusan ini telah diduga lebih awal kerana demografi kaum seperti orang Melayu dan juga orang Asli yang melebih dari 50 peratus.

“Faktor calon, isu perkauman, kebencian dan agama yang dimainkan turut mempengaruhi sokongan yang diterima oleh BN pada kali ini.

“PH telah pun berusaha sedaya upaya bagi merampas kembali kerusi tersebut, namun begitu ia kehendak rakyat dan kita menghormati keputusan yang diterima,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa pertemuan dengan Jawatankuasa Pengurusan AMANAH kawasan dan Negeri Pulau Pinang di Bandar Perda, Bukit Mertajam semalam.

Jelasnya laginya lagi, kemenangan BN itu tidak membawa perubahan besar di Parlimen kerana kedudukan masih lagi PH dengan 131 kerusi.

“Kebencian yang ditanam amat mengecewakan sehinggakan saya bersama Naib Presiden, Datuk Seri Mujahid tidak dibenarkan menziarahi sebuah keluarga yang uzur dan sakit.

“Suasana tempatan sebetulnya tidak sama di Pahang jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain.

“Walau bagaimana pun apa yang berlaku di Parlimen Cameron Highlands tidak akan berulang sekali lagi bagi kerusi Dun Semenyih kerana suasananya amat jauh berbeza, ” ujarnya lagi.

Malah katanya, peluang di Dun Semenyih nanti tidak akan berjaya mempengaruhi dan mengulangi kemenangan BN sepertimana yang berlaku di Parlimen Cameron Highlands.

Pada PRk Cameron Highland Sabtu lalu, BN mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas calonnya, Ramli Mohd Nor diumum menang oleh SPR.

Ramli meraih 12,038 undi untuk menewaskan calon PH Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee yang memperoleh 276 undi.