Malaysia Dateline

Pakatan Harapan anjur himpunan bantah Trump Jumaat ini

Pakatan Harapan akan menganjurkan himpunan membantah Donald Trump di hadapan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara pada Jumaat ini.

Menurut kenyataan bersama pimpinan gabungan pembangkang tersebut hari ini, protes berkenaan bagi menegaskan rasa kecewa terhadap pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Keputusan sepihak Trump itu jelas tidak membantu usaha damai konflik panjang di rantau Asia Barat khususnya di Palestin.

Sebaliknya, lebih merumitkan lagi keadaan sekali gus menyalakan api kemarahan dan reaksi bantahan masyarakat dunia,” seperti dipetik.

Kesemua pimpinan tertinggi Bersatu, AMANAH, PKR dan DAP itu menyifatkan campur tangan Trump ke atas negara Arab itu sebagai melampaui batas demi survival politiknya menjelang Pilihan Raya Separuh Penggal AS.

“Tindakan AS ini telah pun dibantah oleh Kesatuan Eropah (EU) dan United Kongdom telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia tidak akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv,” katanya.

Sehubungan itu, Pakatan Harapan menyeru kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama termasuk parti politik, NGO dan pertubuhan hak asasi manusia untuk menyertai himpunan selepas solat Jumaat itu.