Malaysia Dateline

Pakatan Harapan banyak pulihkan penyakit yang ditinggalkan, tegas PM

Berucap selama 40 minit mulai jam 10.40 malam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir mengingatkan tentang “penyakit” yang ditinggalkan parti pemerintah terdahulu.

Perdana Menteri yang berlatarbelakangkan doktor perubatan itu sekali gus menafikan tohmahan kononnya PH gagal menerajui kerajaan.

“Ramai yang berkata kerajaan ini tidak berjaya. Padahal, keamanan yang dinikmati adalah satu perkara sukar yang berjaya kita capai.

“Kita juga banyak memulihkan penyakit yang ditinggalkan kepada kita,” ujar Ahli Parlimen Langkawi itu.

Pengerusi Bersatu tersebut berkata, kerajaan PH juga sedang berusaha mendapatkan duit yang dicuri.

“Kita memerlukan masa untuk mengatasi penyakit-penyakit yang ditinggalkan parti terdahulu,” jelasnya yang memakai nama timangan “Che Det” sebagai nama pena.

Tampil berpakaian dan bertopi berlogokan Harapan, pemimpin berusia 94 tahun itu mulanya berucap dalam nada seakan-akan sebak ketika mengimbas kembali khidmat dan kerja kuat penyandang Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Dr Farid.

Dr Mahathir seterusnya berkongsikan secara panjang lebar tentang hasrat kerajaan PH untuk membangunkan negara dengan menghapuskan jurang golongan kaya dan miskin.

“Ya. Kita memerlukan golongan kaya untuk membayar cukai tetapi pada masa sama kita mahu lihat agihan ekonomi dilakukan secara adil.

“Hajat kita untuk memastikan semua orang merasai nikmat pembangunan.

“Kita mahu orang luar bandar mendapat lebih banyak ruang untuk mereka meningkatkan pendapatan mereka.

“Kalau dia nelayan, kita (kerajaan) akan beri panduan kepada mereka untuk menambah pendapatan.

“Kalau mereka petani dan pekebun kecil, kita akan perkenalkan tumbuhan lain yang memberi pulangan pendapatan lebih banyak,” tegasnya.

Sehubungan itu, Dr Mahathir mengingatkan segala usaha tersebut bergantung kepada kerajaan memerintah bukannya pembangkang.

“Kerajaan saja yang boleh memberi bantuan kepada rakyat dan buat dasar.

“Parti lawan tak boleh buat apa pun. Sebab itu lebih baik kita pilih calon yang mempunyai ikatan yang rapat dengan kerajaan.

“Kerajaan PH memang pun berniat untuk menolong rakyat. Kita mempunyai pelbagai rancangam untuk memastikan rakyat hidup selesa,” ujarnya lagi.

Penekanan Dr Mahathir berkaitan ekonomi itu dilihat banyak menyentuh kepentingan golongan muda.

PRK Tanjung Piai menyaksikan 7,259 pengundi muda berusia 21 hingga 29 tahun, sementara 12,012 lagi berusia antara 30 hingga 39 tahun.