Pakatan Harapan bila nak umum calon?

Pakatan Harapan bila nak umum calon?

PAS telah mengumumkan calon bagi kedua-dua PRK. Masihkah ada lagi pihak yang mahu menunggu jawapan dari PAS? Hari demi hari dan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan ditunda dari satu masa ke masa yang lain. Rakyat bukan lagi menanti penuh debar calon PH tetapi rasa debar itu kini sedang berubah menjadi marah.

Apa tidaknya, kita antara barisan lembaga pengarah sebuah syarikat, syer kita juga hanya melibatkan semua yang berada di dalam syarikat tersebut. Tetapi apabila kita mahu melaksanakan sesuatu urusan, panduan keputusan kita terpaksa menanti jawapan dari lembaga pengarah syarikat lain yang turut bersaing dalam perebutan projek tersebut.

Analogi ini perlu kita fahami dan tekuni agar kita tidak dilihat sebagai sebuah syarikat yang gagal memperjuangkan hak pekerja syarikat kita. Kepentingan awam dan suara mereka juga perlu diambil kira.

Kesatuan dan kekuatan Pakatan Harapan ialah rakyat. Jika masih ada pimpinan yang hanya memikir perut sendiri untuk diisi tanpa menghiraukan rakyat d ibawah, maka biar suatu masa anda akan diturunkan sendiri oleh rakyat. Di saat rakyat sudah mula sedar dan bosan dengan permainan Barisan Nasional, Pakatan Harapan pula tidak bersedia berhadapan mereka.

Ada yang hingga hari ini masih mahu memujuk-mujuk PAS untuk bersama, tapi mereka dengan tidak mahu berbincang menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan. Bila ditanya mengapa, undi mereka penting kerana ada undi melayu di situ. Lebih baik kita berbaik sahaja dengan Umno jika mahu majoriti seperti itu.

Politik juga perlu mengajar rakyat untuk belajar berfikir bukan sambung dendam politik lama sesetengah watak. Juga perlu diteliti bahawa rakyat hari ini semakin bosan dan letih dengan iklim politik tanah air. Ia bukan sahaja kerana sikap BN, tetapi pendirian pembangkang yang tidak jelas dan melebihkan ideologi sesetengah pimpinan dalam parti.

Pakatan Harapan perlu berani keluar dari sejarah lama dan bina ketamadunan baru. Itupun jika mahu dilihat sebagai sebuah entiti yang mampu menyahkan kerajaan yang ada hari ini. Jika tidak, kekallah terus sebagai pembangkang terlama di dunia.

TAGS