Pakatan Harapan – Budaya politik matang, meraikan perbezaan pendapat

Pakatan Harapan – Budaya politik matang, meraikan perbezaan pendapat

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, hak untuk berbeza pendapat harus sentiasa diraikan. Hak untuk berbeza pendapat ini penting demi memastikan pentadbiran kerajaan hari ini sentiasa bekerja dan berfungsi demi kepentingan rakyat, bukan kepentingan mana-mana individu atau mana-mana parti politik.

Mahasiswa Keadilan Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara dalam memastikan suara rakyat sentiasa diangkat mahupun daripada ahli parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Setiap pendapat harus dilihat sebagai peringatan untuk memastikan setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan PH berlandaskan kepentingan rakyat.

Mahasiswa Keadilan Malaysia mengambil maklum berhubung kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkenaan pelantikan 3 menteri utama; Menteri Kewangan, Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.

Kenyataan ini dilihat sebagai peringatan untuk kerajaan PH untuk memastikan setiap keputusan yang dilakukan haruslah mendapat persetujuan daripada semua parti komponen dalam PH.

Ternyata, kenyataan beliau telah mendapat maklum balas yang berbeza daripada Tan Sri Rais Yatim dan Ambiga Srenevasan.

Perbezaan dalam menzahirkan pendapat inilah yang menyebabkan PH berbeza dengan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
PH harus terus meraikan dan menerima setiap pendapat untuk diimbang dan disemak semula bagi memastikan ketelusan dan integriti pimpinan direalisasikan dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan seiring dengan kehendak rakyat yang menginginkan budaya politik matang dan baharu di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Mahasiswa Keadilan Malaysia juga ingin menyeru kepada ahli-ahli parti komponen PH untuk menggunakan saluran yang betul dalam menzahirkan pandangan dalam keadaan kerajaan yang baharu sahaja dibentuk bagi memastikan mandat dan kepercayaan rakyat tidak terkesan.

Mahasiswa Keadilan Malaysia juga menerima baik keputusan Tun Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah bersetuju untuk membuat rundingan semula menggunakan kaedah rundingan lebih merangkumi.

Kami berharap, pihak pimpinan PH dapat menyelesaikan proses pelantikan kabinet dengan secepat mungkin.

Mahasiswa Keadilan Malaysia akan terus memperjuangkan kebebasan bersuara di kalangan pimpinan dan akar umbi parti-parti komponen Pakatan Harapan.

Kami hargai mana-mana pihak yang berani mengambil inisiatif untuk mempersoalkan keputusan kepimpinan PH, semak dan imbang ini adalah salah satu resepi untuk membentuk sesebuah kerajaan yang akan terus di hormati dan mendapat sokongan daripada semua lapisan masyarakat.

COMMENTS

Wordpress (0)