Pakatan Harapan elak masalah lama berulang

Pakatan Harapan elak masalah lama berulang

Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan Pakatan Harapan yang dianggotainya bersama PKR dan DAP tidak mengulangi pelbagai masalah termasuk kegagalan menguruskan perbezaan pendapat.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Pakatan Harapan merupakan satu langkah progresif demi masa depan negara dengan konsisten memberi tumpuan bagi kepentingan dan keadilan rakyat.

“Kita ada tatacara, tindakan dan akhlak berpakat yang akan menentukan segala masalah yang pernah dialami dulu (Pakatan Rakyat) tidak berlaku lagi. InsyaAllah pengalaman lalu diambil sebagai iktibar termasuk tidak lagi mengeluarkan mana-mana kenyataan yang menyanggah satu sama lain.

“Kita ada prosedur cara hendak menguruskan perbezaan pandangan tanpa menjejaskan kekuatan Pakatan Harapan bagi memastikan kerjasama di antara parti-parti komponen kukuh dan berdisiplin,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline semalam selepas selesai Sidang Kemuncak TPPA 2016 di Shah Alam.

Menurut Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, ketetapan bagi dasar-dasar bersama akan dimuktamadkan menjelang pertengahan tahun ini sesuai dengan usaha ke arah mewujudkan sistem dwiparti.

Mengulas tentang dakwaan pihak tertentu kononnya Pakatan Harapan tiada jaminan bagi kedudukan orang Melayu dan kedaulatan agama Islam, beliau menolak tuduhan yang lazimnya daripada pihak Umno-BN itu.

“Pakatan Harapan menjunjung perlembagaan negara termasuk soal Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, institusi raja, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Itu sudah jelas. Bagi saya, gambaran atau mitos ada yang mahu mencabar atau menghapuskan perkara-perkara berkenaan hanya ditimbulkan Umno-BN untuk menggugat kestabilan Pakatan Harapan,” tegasnya lagi.

TAGS