Malaysia Dateline

Pakatan Harapan gesa Sarawak keluar garis panduan agih bantuan

Pakatan Harapan (PH) menggesa agar Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak(JPBN)mengeluarkan garis panduan pengagihan bantuan sebagai langkah mengelak penularan wabak Covid-19.

Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Senator Alan Ling memberitahu, dengan adanya garis panduan itu, ia akan memastikan sumbangan diagihkan secara lebih teratur terutamanya dalam menitikberatkan penjarakan sosial antara penderma dan penerima.

Katanya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ramai yang tampil menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan dan JPBN harus mengeluarkan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) kerana terdapat beberapa yang tidak diterangkan secara jelas cara menderma dalam tempoh ini.

“Pusat mengumpul sumbangan juga hendaklah dimaklumkan supaya bantuan dapat dikumpul dan diagihkan sama rata kepada penerima di setiap kawasan yang dikenal pasti.

“Di samping itu, orang awam mestilah dimaklumkan dengan waktu dan pegawai atau kakitangan yang bertanggungjawab menguruskan bantuan agar pengurusan dan pengagihan lebih sistematik,” ujarnya di Miri.

Pada masa sama, Alan turut memuji keprihatinan penduduk Miri yang ramai tampil menghulur sumbangan khususnya berupa makanan kepada golongan memerlukan berikutan pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac lalu hingga 14 April ini.