Malaysia Dateline

Pakatan Harapan jamin harga minyak lebih stabil

Mohd Sany Hamzan

Kerajaan yang peduli rakyat termasuk memastikan harga minyak lebih stabil akan tercapai jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan sebagai kerajaan baharu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tegas Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan.

Beliau berkata, parti pemerintah sebenarnya mempunyai kemampuan untuk mengelak harga petrol dan diesel daripada terus melambung sehingga membebankan rakyat yang majoritinya berpendapatan rendah.

“Kerajaan ada keupayaan mengawal harga minyak. Lakukan perubahan kerana kerajaan baharu yang dihantar ke Putrajaya nanti adalah kerajaan yang cakna dan peduli rakyat.

“Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari di Putrajaya akan menghapuskan GST, memansuhkan tol Lebuhraya Utara Selatan dan kita akan selaraskan balik harga minyak.

“Paling mendesak dan nampak gagal diselesaikan kerajaan sedia ada ialah soal berkaitan kenaikan berganda kos sara hidup rakyat akibat penarikan subsidi banyak barangan makanan,” ujarnya ketika ditanya tentang dakwaan kenaikan harga minyak di luar kawalan kerajaan.

Beliau ditemui Malaysia Dateline di lokasi protes bantah kenaikan harga minyak di bahu Jalan Parlimen awal pagi semalam.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada 11 November lalu dilapor berkata, harga petrol dan diesel ditentukan mengikut pasaran harga minyak dunia.

Mengulas lanjut, Sany memberitahu kerajaan Pakatan Harapan akan berusaha menjamin kehidupan rakyat lebih sejahtera dan berkualiti dengan melaksanakan urus tadbir yang bertanggungjawab serta bebas rasuah.

“Masalah dihadapi rakyat termasuk kenaikan harga minyak sebenarnya terkait akibat ketirisan, pembaziran dan penyelewengan kuasa. Hal ini dipandang berat oleh Pakatan Harapan.

“Lihat kerajaan negeri Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang yang dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat,” ujarnya.

Tiada seorang pun pimpinan di kedua-dua kerajaan negeri terbabit, tambahnya, daripada Menteri Besar dan Ketua Menteri sehingga Exco dan ahli majlis disabitkan dengan kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa.