Malaysia Dateline

PH Johor desak jawatankuasa khas siasat punca kerosakan pencawang utama Perling

Pakatan Harapan Johor mendesak agar satu jawatankuasa khas untuk menyiasat dan meneliti punca sebenar kerosakan besar (major breakdown) berlaku di pencawang masuk utama Perling ditubuhkan segera.

Desakan ini dibuat oleh Pakata Harapan Johor dalam kenyataan bersama yang diketuai Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi Bersatu Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh; Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor Hassan Karim dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong.

Menurut kenyataan itu Jawankuasa Khas itu perlu ditubuhkan bagi tujuan agar insiden yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Laporan siasatan hendaklah boleh diakses oleh orang awam untuk mengembalikan keyakinan orang ramai serta pelabur asing.

“Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) melalui Suruhanjaya Tenaga yang merupakan pemantau kepada syarikat pembekal elektrik di Malaysia perlu menjadi orang tengah dalam urusan pemberian pampasan lantaran kerugian dialami oleh pelbagai pihak akibat gangguan bekalan elektrik ini,” ujar kenyataan itu.

Dimaklumkan juga sehingga kini masih tiada sebarang respon dari KeTTHa melalui Menteri Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili terhadap tindakan lanjut yang bakal diambil oleh pihak kementerian untuk mangsa yang terlibat serta menerima kerugian akibat insiden ini.

“Pakatan Harapan Johor juga mendesak agar beliau bertindak segera sebagai tanda kebertanggungjawaban atas insiden yang berlaku. Kegagalan beliau memberi respon terhadap isu ini hanyalah akan mempamerkan kelemahan urus selia pembekalan elektrik oleh pihak Kerajaan dan memberi gambaran yang negatif di mata rakyat terbanyak,” ujar kenyataan itu lagi.

Pada 12 Disember 2017 lalu, selepas kerosakan besar (major breakdown) berlaku di pencawang masuk utama Perling, bekalan elektrik di kawasan sekitar Taman Bukit Indah termasuk Country Garden, Paradigm Mall, Horizon Hill, Taman Sutera Utama, Nusa Idaman, sebahagian Taman Ungku Tun Aminah dan sebahagian Taman Perling telah mengalami gangguan melebihi 10 jam.

Ia sekaligus mencatat rekod tempoh gangguan bekalan elektrik yang paling panjang di semenanjung Malaysia sejak 1996.

“Ini menyebabkan bekalan elektrik telah terputus sehingga lebih 40 jam di kawasan perumahan sekitar lokasi kejadian dan lebih 72 jam di pusat membeli belah Aeon Bukit Indah. Keseluruhan insiden ini telah melibatkan sekitar 18,000 pengguna.

“Kawasan yang terlibat adalah terletak dalam lingkungan Iskandar Malaysia yang kita sedia maklum sedang pesat membangun. Ia merupakan kawasan penting melibatkan ribuan peniaga di pelbagai lapangan perniagaan tempatan dan juga pelaburan luar negara.

“Gangguan bekalan elektrik yang berlaku bukan sahaja membawa kerugian kepada rakyat kita, malah telah menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur disini.” kata kenyataan.