Jumpa Mahathir untuk bersama selamatkan negara, kata Athirah

Jumpa Mahathir untuk bersama selamatkan negara, kata Athirah

Tindakan pemimpin Pakatan Harapan bertemu mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bertujuan mengajak tokoh negarawan itu untuk bersama menyelamatkan negara.

Timbalan Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Aiman Athirah Aljundi berkata, ramai yang memberi respons terhadap tindakan pemimpin Pakatan Harapan khususnya Amanah yang bertemu Dr Mahathir sedangkan bekas presiden Umno itu bukanlah individu yang berkuasa.

“Kita tidak pun mengajak Tun untuk menyertai PH (Pakatan Harapan), sebaliknya mengambil ruang yang ada untuk mendengar sendiri apa isu sebenar yang diketahui Tun dan bagaimana Tun melihat ianya perlu diperbaiki demi kepentingan negara dan rakyat jelata yang semakin terhimpit. Pada masa yang sama kita juga tidak pernah lupa siapa dia Tun.

“Kita tidak pergi kepada Tun yang masih berkuasa untuk mendapatkan apa jua bentuk habuan sama ada secara terangan ataupun tersembunyi. Kita pergi sejujurnya sebagai rakyat yang cintakan negara dan mahu mengambil apa jua usaha bagi menyelamatkan negara dan rakyat yang kita cintai ini,” jelas beliau.

Tambah beliau, dalam pertemuan itu Dr Mahathir diajak agar sama-sama bertindak dalam usaha menyelamatkan rakyat dan negara melalui proses yang diizinkan perlembagaan tanpa menunggu pilihan aya umum (PRU).

Tindakan menunggu PRU untuk melakukan perubahan, ujarnya memperlihatkan sikap mementingkan parti dan bukannya rasa kecintaan kepada negara dan rakyat.

Menurut beliau, pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam tempoh dua tahun jika kelemahan dan kepincangan pentadbiran kerajaan sekarang dibiarkan berlaku.

“Jika sekarang pun seolah-olah tiada apa boleh menghalang serta membendung kerakusan (Perdana Menteri) Najib Razak, apa yang buat anda fikir dalam PRU14 nanti kita dan rakyat mampu? Tidak cukup kah pengalaman ‘ditipu’ oleh SPR selama 13 kali PRU dan entah berpuluh-ratus kali PRK?” soal Athirah.

Tempoh dua tahun, jelas beliau membolehkan Najib memperkemas seluruh strategi pasukan dan jentera kerajaan yang ada bagi mempertahankan kedudukannya sekaligus kedudukan proksinya yang semakin melebar.

“Najib sendiri kini sudah dijadikan semacam satu institusi negara yang jika ada sesiapa yang berani mencabar atau mengkritiknya seolah mencabar dan mengkritik negara!

“Tidakkah kita melihat bagaimana Najib sudah memperkemaskan kuasanya termasuklah dalam menyediakan pelbagai akta (undang-undang drakonian) yang nantinya akan digunakan bagi menyelamatkan survivalnya?” soal beliau lagi.

Athirah berharap rakyat boleh memahami situasi negara yang mencemaskan ini bagi mengelak Malaysia berubah menjadi ‘negara diktator’.

TAGS