Malaysia Dateline

Pakatan Harapan kesal lima negeri tidak dijemput hadiri Mesyuarat Khas

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) kesal atas tindakan Putrajaya yang tidak menjemput Menteri Besar dan Ketua Menteri lima negeri iaitu Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah bagi menghadiri Mesyuarat Khas bagi menyelaraskan Perintah Kawalan Pergerakan antara negeri yang diadakan hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini, PH berkata, jika ianya kerana mereka ini mentadbir kerajaan-kerajaan negeri yang tidak sehaluan dari segi politik dengan Kerajaan Persekutuan yang ada sekarang, maka tindakan kepartian sempit ini amatlah merugikan rakyat.

“Umum sedia maklum bahawa kelima-lima negeri ini merangkumi hapir 40 peratus seluruh penduduk di Malaysia, dan sejumlah besar kes Covid-19 ini berlaku di negeri-negeri ini,” katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, tindakan kawalan Covid-19 yang tidak mengambil kira sebahagian wilayah dalam negara pasti akan menggagalkan usaha pengawalan itu.

Sehubungan itu Majlis Setiausaha PH menggesa Putrajaya untuk memanggil pertemuan bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri ini, demi kemaslahatan dan keselamatan warga negeri-negeri tersebut.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini yang bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Mengulas perkara tersebut dalam media sosialnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudi Shari berkata, Selangor adalah negeri yang terkesan besar dengan wabak Covid-19.

“Pentadbiran negeri dukacita tidak dilibatkan dalam urusan melibatkan nyawa manusia seperti ini. Jelas bertentangan dengan sikap terbuka negeri untuk bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Pusat,” katanya.

Manakala Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir pula dalam media sosialnya memberi komen “Kedah pun tak diajak. Agaknya tak ada Covid-19 di Kedah”.