Pakatan Harapan mandat yang belum kesampaian

Mengurus kemenangan merupakan sesuatu yang agak sukar, berbanding dengan perjuangan untuk mendapatkan kemenangan. Kemenangan, bermakna satu bebanan untuk merealisasi objektif kemenangan yanf dirangka, sejajar dengan hasrat harapan meninggi dalam kalangan rakyat. Inilah realiti dan cabaran yang dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH).

Sukar untuk dinafikan bahawa rakyat sememangnya mempunyai harapan meninggi terhadap sesuatu perubahan, khususnya dalam konteks pertukaran kerajaan. Fokus dalam pemikiran rakyat, pertukaran kerajaan bermakna perubahan drastik dalam kehidupan sosio ekonomi serta tertanamnya kepercayaan bahawa akan wujudnya secara signifikan segala infrastruktur yang mampu untuk mempertingkat kualiti kehidupan mereka.

Golongan rakyat bawahan khususnya, melihat secara total akan kemutlakan peranan kerajaan untuk bertindak bagi memenuhi keperluan pembaikan status sosial dan kos kehidupan. Hakikatnya, bagi kumpulan ini kerajaan harus menentukan kestabilan hidup mereka, soal peruntukan dana atau kekurangan dana, maka itu adalah tugas kerajaan untuk menjaya adakannya.

Kerajaan seharusnya sensitif dengan suara rakyat bawahan, “sudah setahun lebih PH memerintah, tak nampak apa pun, rakyat makin susah,” antara luahan rakyat yang kurang dipedulikan oleh kerajaan. Keadaan ini menuntut kepekaan kerajaan untuk lebih cakna terhadap kepentingan rakyat terbanyak.

Itulah hakikat psikologi rakyat terhadap kerajaan. Bermakna, seluruh anggota pentadbiran perlu memahami psikologi rakyat. Rakyat secara umumnya tidak akan membiarkan wujudnya jarak waktu dalam mengukur prestasi kerajaan, dalam konteks Richard Koch, ini diistilahkan sebagai “automated perfomance measure.”

Sebaik sahaja pembentukan kerajaan bermula, maka akan bermula jugalah pengukuran prestasi rakyat terhadap kerajaan. Seandainya kerajaan gagal berkomunikasi secara berkesan, khususnya dalam mendedahkan tindakan konkrit bagi penambahbaikan kehidupan rakyat, maka kesannya protes rakyat akan muncul. Inilah dilema yang dihadapi PH dalam usaha untuk merasionalkan harapan rakyat terhadap kerajaan.

Sebagai kerajaan, sepatutnya PH mempunyai struktur yang kuat berkaitan dengan usaha membina “perfect competition” atau persaingan mencabar, bagi menaturalkan bahaya (to neutralize the threat), sebagaimana penegasan yang diutarakan oleh Martina Sprague dalam konteks realiti untuk berhadapan dengan lawan politik.

Hakikatnya pemikiran rakyat telah berjaya ditakluk oleh dua parti Melayu utama, UMNO dan PAS. Kedua-dua parti ini sudah hampir hilang pengaruhnya selepas Pilihan Raya 14 (PRU14) 9 Mei 2018, namun kedua-dua parti ini telah berjaya bangkit dengan cepat dalam tempoh tidak sampai satu tahun, atas perkiraan kegagalan strategis PH mewujudkan “detterent” ke atas kedua-dua parti ini untuk menyusupkan pengaruh mereka ke dalam masyarakat, khususnya dalam masyarakat Melayu.

Nampak agak jelas akan kelemahan para strategis PH, termasuk badan penyelidik PH yang gagal menggunakan kaedah yang tepat dalam mengukur paras tindak balas rakyat terhadap kerajaan.
Strategis PH sepatutnya mampu untuk bertindak balas dengan tepat berdasarkan data yang konkrit, bukan bercakap dikhalayak umum, di forum media berhubung dengan kelemahan PH, akibatnya menjadi peluru untuk dihalakan kembali kepada PH.

Masalah utama strategis PH adalah “tidak strategik dan tidak berfikir dalam konteks strategis.” Sepatutnya mereka ini menggunakan pentas forum untuk mempertahankan dasar-dasar kerajaan serta meyakinkan orang awam terhadap inisiatif yang telah dilakukan dalam usaha memenuhi komitmen yang telah diikrarkan. Seumpama meyakinkan rakyat terhadap kandungan manifesto pilihan raya yang telah dikelirukan oleh pihak-pihak berkepentingan lain.

Manifesto PH, telah dieksploit sepenuhnya oleh pihak-pihak berkepentingan, terutamanya UMNO dan PAS, bagi mengembangkan pengaruh mereka, pada masa yang sama membina psikologi terasing terhadap PH.
Apa yang jelas dalam manifesto PH, tidak dinyatakan soal penghapusan tol, penurunan harga minyak, penghapusan PTPN, soal perlantikan ahli politik mengetuai syarikat korporat kerajaan (GLC).

Namun strategis PH tidak mengkaji dan menghadamkan kandungan Manifesto untuk disebarkan sebagai mekanisme serangan balas terhadap penyebaran “berita palsu” berhubung dengan manifesto PH. Boleh dikatakan terdapat juga petunjuk yang memperlihatkan pihak pimpinan PH sendiri tidak mempunyai pengetahuan mendalam terhadap kandungan manifesto PH, sehinggakan begitu ketara akan kedangkalannya dalam berkomunikasi dengan rakyat bawahan.

Ini adalah kelemahan paling ketara PH, khususnya dalam kalangan strategis PH. Dalam kata lain, strategis PH telah gagal dalam membina pusat kekuatan graviti, menyebabkan serangan balas terhadap isu-isu yang dibangkitkan telah gagal dilakukan secara berkesan.

Amat malang bagi PH, sebagai pendokong kerajaan menjadi mangsa kepada kegagalan strategisnya sendiri untuk membina kelebihan persaingan, sedangkan PH menguasai segala bentuk mekanisme bagi menggerakkan perang psikologi, sebaliknya terperangkap dengan psikologi penafian yang membolehkan UMNO dan PAS menguasai medan tempur.

Politik adalah bersifat praktikal, keputusan politik seharusnya juga bersifat objektif, bukan idealis. Idealis dalam politik bermakna membuka ruang untuk musuh politik menguasai lingkungan sempadan wilayah sendiri, membuka peluang dan ruang musuh politik bergerak bebas menggunakan segala infrastruktur yang disediakan untuk kepentingan mereka memperluaskan pengaruh serta membuat serangan.

Inilah yang terjadi dalam konteks operasi politik PH. Institusi agama, masjid, surau dan institusi pendidikan dijadikan tempat untuk membangkitkan sentiman anti PH, tanpa adanya pengawasan dan tindakan konkrit ke arah pencegahan, kononnya atas amalan demokrasi.

Satu tindakan yang bakal memusnahkan PH sendiri, hakikatnya memperlihat PH tidak mempunyai keazaman politik yang kuat untuk menguasai medan politik, menyebabkan medan politik telah didominasi lawan politik secara total.
Keadaan ini menunjukkan longgarnya kawalan terhadap medan politik, memperlihatkan PH telah ketinggalan jauh dalam menakluki minda masyarakat. Satu situasi yang cukup membahayakan masa depan PH. PH telah gagal menguasai psikologi masyarakat.

Begitu ketara akan jurang yang wujud antara pimpinan PH, sebagai pihak yang mendokong kerajaan dengan masyarakat. Proses sosiolisasi dasar-dasar kerajaan telah gagal dilakukan secara berkesan, sehinggakan masyarakat merasakan tidak wujudnya komitmen yang bersungguh pihak kerajaan dalam aspek peningkatan nilai terhadap kehidupan rakyat.

Realiti ini juga menjarakkan hubungan antara kerajaan dan rakyat. Kesan daripada itu, realiti politik medan telah hampir dikuasai oleh UMNO dan PAS, pengaruh PH semakin terhakis dengan persepsi “PH tidak mampu membawa perubahan.” PH perlu lebih agresif dalam menguasai medan politik, khususnya dalam latar yang melibatkan secara menyeluruh institusi-institusi sosial dan perkhidmatan awam, sepatutnya tidak wujud situasi terbuka dan tidak terkawal, kerana ini akan membuka peluang kepada wujudnya “deep state.”

Unsur kejutan, sebagaimana dianjurkan Carl Von Clausewitz merupakan aspek penting dalam memusnahkan kekuatan moral musuh. Namun aspek ini telah gagal dilaksanakan PH, setelah menguasai realiti politik PRU14, serangan mengejut ke atas UMNO dan PAS telah gagal dilakukan oleh para strategis PH, bagi melemahkan moral UMNO dan PAS bagi menyekat pergerakan kedua-dua parti ini untuk bertindak aktif meluaskan pengaruh dalam kalangan masyarakat.

PH seolah-olah gagal memahami bahawa kedua-dua parti ini masih mempunyai tapak yang kuat dalam kalangan para penyokong akar umbi, jika dibiarkan bebas akan menjadi unsur pembunuh kepada hayat PH. Tidak ada aspek idealisne dalam politik, politik adalah pertarungan dalam melebarkan pengaruh dalam kalangan masyarat, pihak yang kejap cengkaman pengaruhnya serta berupaya membenamkan potensi pihak lawan politik, peluang untuk meneruskan jangka hayat politik adalah lebih kukuh dan padu. PH harus memahami situasi politik ini sekiranya ingin terus bernafas mendominasi medan politik Malaysia, sekiranya PH tersungkur, bermakna PH akan terus tenggelam dan hilang di telan arus.

Phanta Rei, segalanya akan berubah, inilah hakikat yang berlaku selepas 9 Mei 2018, pemikiran idealis dalam kalangan pemimpin PH menyebabkan UMNO dan PAS mempunyai ruang yang luas untuk bergerak dan membina jaringan untuk mengeksploitasi segala isu yang berkait dengan kepntingan bangsa Melayu, meskipun bersifat khabar angin.

Soal kedudukan raja-raja Melayu, soal kedudukan Islam, soal bahasa Melayu telah dieksploit dengan jayanya oleh UMNO dan PAS, sebaliknya menimbulkan kesukaran kepada PH untuk mewujudkan serangan balas bagi meyakinkan masyarakat, apa yang digembar-gemburkan adalah satu kepalsuan, sebaliknya PH yang diserang bertalu-talu. Sehingga menjadikan PH lebih bersifat defensif manakala UMNO dan PAS lebih bersifat ofensif.

PH perlu dinamik dalam hal berkaitan strategi politik, pemimpin PH perlu fahami bahawa politik adalah medan dalam bentuk yang lain, oleh para pemimpin PH, seharusnya mempunyai “political will” untuk memusnahkan UMNO dan PAS walau dalam apa cara sekali pun, memandangkan PH baru sahaja bertapak dan tidak mempunyai pengkalan operasi yang kuat dan meluas.

Dalam situasi sebegini, sekiranya PH gagal melemahkan kedua-dua musuh politik ini (UMNO dan PAS), bermakna kedua-dua musuh ini akan kembali mengancam dan memporak perandakan PH dalam pelbagai bentuk (menjadi parasit dan racun), sentiasa melepaskan tuba. Hakikatnya para pemimpin PH harus memahami pesanan Carl von Clausewitz, “Success in war requires offensive action and seizing the initiative.”

Apa yang nyata, strategis PH telah gagal dalam membentuk pemetaan senario, bagi membolehkan PH bergerak secara dominan di dalam masyarakat. Jentera parti, khususnya parti-parti komponen dalam PH, tidak begitu aktif bergerak memobilisasi sokongan masyarakat terhadap PH, masing-masing pihak terjebak dengan kepentingan politik peribadi serta konflik politik dalaman parti.

Tidak nafikan, apa yang disebutkan politik baru itu, hanyalah sesuatu yang bersifat hipokrit, hakikatnya masih mewarisi perlakuan politik anti moral warisan UMNO dan PAS. Menjustifikasikan gaya politik baru dalam kalangan pelaku politik PH, hakikatnya sesuatu yang kabur, perangai politik “biadap” dan “celupar” tetap berleluasa, sehingga sukar untuk membina sempadan antara PH dengan UMNO dan PAS.

Kehodohan dan kecelaruan politik tetap terserlah dan membudaya, mempengaruhi tingkah laku politik dalam kalangan pimpinan PH pada setiap peringkat. Situasi ini tentunya akan menimbulkan ketidakyakinan umum dalam kalangan rakyat, realiti ini pastinya mencabar akan keutuhan pengaruh, wibawa serta moral PH sebagai parti yang memerintah, realitinya mempunyai potensi yang besar kepada wujudnya penghakisan keyakinan rakyat terhadap prestasi serta keutuhan PH sebagai kerajaan yang berfokuskan kepentingan rakyat.

Koluminis adalah Pensyarah di  Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris